Skip to main content
Home

Hotel, Pusat-Beli Belah Tingkat Tahap Keselamatan

By 22 Disember 2016Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

PETALING JAYA, 22 Dis — Pusat beli-belah, kelab dan hotel di negara ini telah mengambil langkah dan inisiatif sendiri untuk meningkatkan tahap keselamatan di premis masing-masing, melengkapkan usaha yang dilakukan oleh pihak polis.

Usaha ini dilakukan selepas polis Indonesia menembak mati tiga suspek militan yang merancang untuk mengebom pondok polis semasa musim cuti ini.

Menurut Persatuan Pusat Beli-Belah Malaysia, keselamatan pelanggan sentiasa menjadi keutamaan dan pusat beli-belah akan sentiasa dikendalikan dengan sebaik-baiknya dari aspek keselamatan.

Bagi pusat beli-belah yang bersaiz lebih besar, ia mempunyai lebih daripada 100 kakitangan serta bantuan polis tambahan.

Penasihat persatuan HC Chan berkata jumlah pengunjung pusat beli-belah mungkin meningkat sebanyak 50 peratus dalam tempoh cuti akhir tahun.

“Pusat beli-belah mungkin mempunyai puluhan ribu pengunjung pada satu-satu masa dalam tempoh ini, jadi sudah tentu anggota keselamatan amat diperlukan,” katanya.

Bagaimanapun, Chan berkata pelanggan juga mempunyai peranan mereka sendiri dalam aspek keselamatan.

“Ada pusat beli-belah tertentu mengambil tindakan dengan meletakkan notis mengingatkan pengunjung mengenai langkah yang boleh diambil jika mereka melihat seseorang atau sesuatu yang mencurigakan.

“Secara tidak langsung, mereka juga mendidik pelanggan untuk sentiasa berwaspada,” kata Chan.

Selain itu, pusat beli-belah juga bergantung kepada CCTV yang dapat membantu pengawasan dilakukan dengan lebih baik dan dapat dijadikan bukti kepada pihak berkuasa mengikut keperluan semasa.

Chan berkata CCTV ini pada masa lalu telah digunakan untuk mengenal pasti suspek jenayah kecil yang dilakukan di pusat beli belah dan kini boleh juga menjadi bukti berguna dalam situasi yang lebih kompleks.

Beliau juga bersyukur kerana belum pernah berlaku kejadian keganasan di pusat beli-belah di Malaysia setakat ini.

Beliau berkata insiden keganasan telah mendorong pusat beli-belah di Thailand dan Indonesia untuk mengambil langkah-langkah keselamatan yang lebih ketat seperti meletakkan alat pengimbas beg di pintu masuk.

“Langkah-langkah ketat seperti ini mungkin tidak diperlukan di sini buat masa ini kerana pihak polis sedang membantu memastikan keadaan terkawal,” kata Chan.

Roen Cian Nagapan, rakan kongsi operasi The Group yang memiliki kelab Roof di Bandar Utama, berkata syarikat itu telah mengambil langkah-langkah keselamatan yang sangat serius.

Pengunjung adalah tertakluk kepada pemeriksaan badan dan pemeriksaan pengesanan barang-barang terlarang seperti senjata api atau dadah.

“Kakitangan juga dilatih mengenai perkara-perkara keselamatan,” katanya.

Roen berkata kelab itu telah bersedia untuk berdepan kebanjiran pengunjung pada malam Krismas dan Tahun Baru kerana kedua-dua sambutan itu jatuh pada hari Sabtu.

“Kami akan meningkatkan tahap keselamatan dengan sebaik-baiknya dan kami agak bernasib baik kerana mempunyai bantuan polis tambahan di bangunan ini,” katanya.

Hotel-hotel juga telah mengambil langkah-langkah yang perlu untuk memastikan keselamatan pelanggan tetap diberi keutamaan.

Menurut Presiden Persatuan Hotel Malaysia, Cheah Swee Hee, pengusaha hotel telah merangka prosedur operasi standard untuk menangani krisis dan situasi kecemasan.

“Situasi keganasan dan bagaimana untuk mengendalikan mereka juga telah menjadi topik semasa persidangan dan kami juga sentiasa mendidik diri sendiri.

“Kami akan terus berwaspada untuk menangani sebarang keadaan dari situasi kecil kepada yang lebih besar,” katanya.

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) berkata pihaknya juga telah mengambil langkah-langkah segera untuk mengukuhkan lagi tahap keselamatan di lapangan terbang di bawah pengurusannya.

 

http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2016/12/22/hotel-pusat-beli-belah-tahap-keselamatan/

 

Tinggalkan komen anda