Skip to main content
Home

Beberapa Sekolah Di Tiga Negeri Terjejas Akibat Banjir

By 1 Januari 2017Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

KUALA LUMPUR, 1 Jan — Sesi persekolahan di beberapa sekolah di Terengganu, Kelantan dan Johor yang sepatutnya bermula hari ini terpaksa ditangguhkan akibat banjir dan fenomena ombak besar.

Di TERENGGANU, sesi persekolahan di 22 daripada 501 sekolah rendah dan menengah terpaksa ditangguhkan kerana laluan sekolah dinaiki air dan terdapat sekolah yang dijadikan pusat pemindahan mangsa banjir.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata meskipun banjir, ia tidak menghalang 22,515 murid Tahun Satu untuk mendaftar bagi sesi tahun ini berbanding 19,800 murid tahun lepas.

“Untuk prasekolah, seramai 12,965 kanak-kanak mendaftar di tadika milik beberapa jabatan kerajaan seperti Tabika Kemas dan Yayasan Islam Terengganu,” katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolah Kebangsaan Seberang Takir, di sini.

Di KELANTAN, seramai 2,915 pelajar daripada 16 sekolah yang terjejas banjir tidak dapat memulakan hari pertama persekolahan, membabitkan 1,248 pelajar di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tanah Merah, 922 pelajar di PPD Kuala Krai dan 745 pelajar di PPD Jeli.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Jaafar Ismail berkata keputusan sama ada penangguhan sesi persekolahan itu akan diganti atau tidak akan mengambil kira keadaan banjir yang berlaku.

Seramai 12,344 murid Tahun Satu mendaftar di sekolah rendah di seluruh Kelantan bagi memulakan sesi persekolahan 2017.

Di JOHOR, Pengarah Pendidikan negeri Shaharudin Sharif berkata empat sekolah di Mersing iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Aur, SK Pulau Pemanggil, SK Pulau Tinggi dan SK Pulau Sibu yang melibatkan 40 murid tidak dapat memulakan sesi persekolahan berikutan fenomena ombak besar.

“Seramai 37 guru tidak dapat ke sekolah masing-masing akibat ombak besar sejak Jumaat lalu, namun, sekolah dijangka beroperasi Selasa ini dan ia bergantung kepada keadaan laut,” katanya selepas meninjau sesi persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Scientex di Pasir Gudang.

Sebelum ini, Jabatan Laut mengeluarkan kenyataan mengenai ombak besar dan melarang bot kecil di jeti beroperasi menghantar penumpang ke pulau-pulau berkenaan sejak Jumaat yang menyebabkan guru terkandas di Mersing.

Shaharudin berkata 612,000 murid sekolah rendah dan menengah memulakan sesi persekolahan tahun ini di 1,182 sekolah di seluruh Johor.

Di KEDAH, Pengarah Pelajaran negeri Datuk Azuyah Hassan berkata 30,275 murid Tahun Satu di 548 sekolah rendah memulakan sesi persekolahan hari ini.

Seramai 430,000 pelajar sekolah menengah dan rendah dari 784 sekolah di negeri itu memulakan sesi persekolahan hari ini.

Pelajar di Kelantan, Terengganu, Johor dan Kedah memulakan sesi persekolahan hari ini berbanding negeri lain pada Selasa.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda