Skip to main content
Berita TempatanSabah

Karnival Tahun Baharu Cina Platform Keluarga Berhibur

By 25 Januari 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Oleh: Muhammad Khairul Azad Yunus / Foto: Johnny George Kimlon (Sabah)

 

KOTA KINABALU, 25 Jan (Malaysiaktif) – Ribuan warga Kota Kinabalu terus membanjiri hari kedua Karnival Tahun Baharu Cina 2017 di Padang Merdeka.

Pengunjung, Jimmy David, 31, turut merasai kelainan karnival yang diadakan pada tahun ini.

“Karnival kali ini ada kelainan kerana diadakan di Padang Merdeka yang lebih luas dan selesa untuk kami sekeluarga datang berhibur sambil membeli-belah.

Jimmy David

Jimmy David bersama keluarganya

“Persembahan hiburan juga lebih meriah dengan pentas yang lebih besar dan menarik pengunjung yang lebih ramai,” kongsinya.

David turut menyarankan agar acara seperti itu diteruskan pada masa hadapan kerana mendapat sambutan yang baik daripada warga Kota Kinabalu.

Karnival itu juga amat ditunggu-tunggu seorang lagi warga bandar raya Kota Kinabalu, Rayyan Siew, 29.

Faridah bersama tetamu lain melakukan acara Lau Sang

Faridah bersama tetamu lain melakukan acara Lau Sang

“Kita jarang lihat acara-acara seperti ini kecuali sewaktu sambutan Tahun Baharu Cina. Oleh itu, kami sekeluarga turun malam ini lebih -lebih lagi anak saya begitu berminat untuk menonton tarian singa.

“Karnival ini amat baik sekali memandangkan kami dapat bertemu dengan ramai kawan daripada pelbagai lapisan bangsa dan agama,” jelasnya.

Hari kedua karnival berkenaan lebih bermakna apabila isteri Ketua Menteri Sabah merangkap Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil Rakyat Sabah (BAKISA), Datin Seri Faridah Tussin turut bersama-sama meraikan warga emas dan kanak-kanak thalassemia.

Faridah menerima skrol dari singa yang membuat persembahan pembukaan

Persembahan pembukaan, tarian singa

Selain tarian singa, pengunjunh turun dihiburkan dengan persembahan nyanyian, tarian oleh pelajar sekolah dan kanak-kanak thalassemia dan persembahan nyanyian istimewa daripada Datuk Suzan Wong.

Tetamu jemputan turun melakukan acara Lau Sang yang diketuai Faridah sebelum mereka bersama-sama mengagihkan angpau dan buah tangan kepada warga emas dan kanak-kanak thalassemia.

Sementara itu, menurut Pengerusi Penganjur Karnival, Datuk Suzan Wong, karnival anjuran bersama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Gabungan Persatuan Cina Sabah itu bertujuan menghangatkan suasana sambutan Tahun Baharu Cina dalam kalangan warga Kota Kinabalu.

“Karnival ini juga memberi peluang kepada warga bandar raya untuk berhibur sambil membeli-belah keperluan perayaan, selain menjadi tarikan pelancong dari dalam dan luar negara,” ujarnya lagi.

Karnival Tahun Baharu Cina 2017 dirasmikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, Isnin lalu.

SF

Tinggalkan komen anda