Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

Sukarelawan Pentingkan Pengalaman dan Keseronokan

By 25 Januari 2017Tiada komen2 minit bacaan

Laporan dan Foto oleh: Mohd Baharruddin Mohamad (Sarawak)

SIBU, 25 Jan (Malaysiaaktif) – “Penat lelah bukan menjadi isu asalkan saya memperoleh pengalaman serta keseronokan ketika bertugas sebagai sukarelawan”.

Demikian kata sukarelawan Kejohanan Victor Far East Malaysia Masters 2017, Nicky Atkinson Avit anak Reehardlin semasa ditemui Malaysiatif di Stadium Tertutup Sibu pada Ahad.

Menurut Nicky, pihak Persatuan Badminton Malaysia menawarkan tugas sukarelawan kepada seramai enam orang yang dipilih dengan bayaran elaun sebanyak RM50 sehari bermula 17 hingga 22 Januari yang lalu.

“Dengan adanya pengalaman yang saya peroleh ini maka senang untuk menganjurkan apa-apa pertandingan badminton baik di institut atau di sekolah apabila saya bertugas sebagai guru kemudian hari nanti,” ujarnya yang merupakan pelatih Institut Perguruan Rejang.

Pengurus Kanan BAM bersama sukarelawan

Pengurus Kanan BAM bersama sukarelawan

“Dahulu saya pernah memohon sebagai sukarelawaan SUKMA 2016 tetapi tidak berjaya. Kini apabila ditawarkan maka saya ambil peluang sepenuhnya demi mengumpul pengalaman sendiri,” jelasnya.

Nicky yang bertugas bermula 7.30 pagi hingga 10.30 malam setiap hari, turut mengambil peluang untuk menambah jam kredit bagi program akademik semasa di institutnya.

“Di samping bekerja sebagai sukarelawan, program ini juga dapat menambah jam kredit untuk akedemik saya.

“Saya ditugaskan di pintu masuk memeriksa tiket masuk untuk memastikan setiap penonton yang masuk mempunyai tiket selain memastikan tidak ada penonton membawa makanan dan minuman,” jelasnya yang teruja ketika menerima tawaran tersebut.

Sementara itu, urus setia media, Khairunnisa Aniyah Abdul Rahim menjelaskan pengalaman  bertugas semasa SUKMA 2016 di Kuching sebelum ini banyak membantunya.

“Ini ialah pengalaman kedua bagi diri saya. Saya dibayar elaun sebanyak RM150 sehari dan tugas harian saya adalah untuk memastikan semua media berpuas hati dengan perkhidmatanyang disediakan urus setia.

“Di samping itu, tujuan saya adalah untuk menambahkan pengalaman sebagai urus setia selain mengisi masa lapang sementara mencari pekerjaan tetap.

WhatsApp Image 2017-01-23 at 7.09.11 AM

Antara sukarelawan yang ditemu bual

“Saya sangat teruja kerana berpeluang melihat semua pemain dari dunia luar walaupun setiap hari ada terpaksa menghadapi bermacam-macam masalah berkenaan pas masuk oleh penonton serta pihak media yang membuat liputan,” ujarnya lagi.

Kejohanan yang diadakan buat julung kalinya di Sibu sejak 17 Januari lalu, melibatkan 16 buah negara berentap bagi merebut gelaran juara dalam kejohanan yang menawarkan  AS$120,000 (RM537,400) itu dengan mempertandingkan  lima acara, iaitu perseorangan lelaki, beregu lelaki, perseorangan wanita, beregu wanita dan beregu campuran.

Di samping  mempromosikan Tahun Melawat Sibu 2017 (TMS 2017), kejohanan tersebut merupakan sebahagian daripada sirkit Grand Prix Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dan dianjurkan bersama oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Persatuan Badminton Sarawak (SBA).

-SF

Tinggalkan komen anda