Skip to main content
Berita TempatanHomeKuala LumpurWilayah Persekutuan

Pejabat Tourism Malaysia Ditutup, Nasib Pekerja Jadi Tanda Tanya

By 25 Januari 2017Tiada komen2 minit bacaan

 Laporan / foto oleh: Mohd Izzideen Khairi Zakaria

KUALA LUMPUR, 25 Jan (Malaysiaaktif) – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Perkhidmatan Awam, CEUPACS merayu pengurusan tertinggi Tourism Malaysia, menangguhkan sementara penutupan pejabatnya di seluruh negara demi kebajikan kakitangan Jabatan tersebut.

Ini berikutan kenyataan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia,  Datuk Seri Mohamed Nazri  Abdul Aziz  yang mengumumkan penutupan Pejabat Negeri Tourism Malaysia berkuat kuasa serta merta.

Pihak CEUPACS telah mengeluarkan nota pada 21 Januari lalu dan merayu kepada Kerajaan supaya mengkaji semula tindakan penutupan ini kerana memikirkan nasib 232 orang kakitangan yang berkhidmat di semua 14 pejabat negeri.

Sesi sidang media bersama Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda (tengah, duduk) dan wakil-wakil Tourism Malaysia.

Menurut Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda, semua pekerja Tourism Malaysia merasa tertekan dengan kenyataan Menteri Perlancongan dan Kebudayaan itu kerana mereka tidak diberi taklimat dan penjelasan mengenai penutupan pejabat yang kononnya dapat menjimatkan kos operasi sebanyak RM 6 juta.

“Amat perlu untuk kerajaan meneliti semula keputusan ini kerana pada tahun 2017, dianggarkan seramai 230 juta pelancong akan membanjiri negara.

“Kajian juga telah dibuat dalam kalang pekerja dan hasil kajian itu mendapati bukan sahaja pelancong s malah rakyat Malaysia memerlukan perkhidmatan Tourism Malaysia,” katanya dalam di sidang media hari ini.

Jelas Datuk Azih lagi, seramai 39 orang daripada 232 pekerja adalah pegawai kontrak dan beliau berharap agar semua pekerja dikekalkan dalam perkhidmatan dan tiada yang diberhentikan.

CEUPACS turut memohon kajian terperinci dilakukan berkaitan keputusan penutupan pejabat negeri ini kerana Tourism Malaysia merupakan agensi yang bertanggungjawab mempromosikan produk pelancongan di seluruh negara.

Sekiranya keputusan ini dikekalkan, ia akan mewujudkan jurang di antara Tourism Malaysia, Kerajaan Negeri dan penggiat industri pelancongan yang terdiri daripada pengusaha hotel, agensi serta pengusaha produk pelancongan di negara ini.

-MSM

Tinggalkan komen anda