Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelaka

Beza Kaum Tak Halang Jiran Membantu

By 25 Januari 2017Tiada komen3 minit bacaan

 

 Laporan / foto oleh: Fauzrina Hj Bulka

MELAKA, 25 Jan (Malaysiaaktif) – Penglihatan tertumpu dengan pasangan anak-beranak berbangsa Melayu yang berada dalam ratusan kelompok warga emas berbangsa Cina yang hadir untuk menerima sumbangan Tahun Baharu Cina.

Ketika ditanya kepada empunya diri, jawabnya kehadirannya di situ untuk bantu menghantar tiga orang jirannya menerima sumbangan daripada kerajaan negeri.

Kagum dengan semangat perpaduan yang ditunjukkan oleh Ayub Jantan, 56, yang sudi meluangkan masa demi menjaga kebajikan jiran-jirannya.

“Saya seorang pesara, pada saya tak kisah apa kaum pun jika memerlukan bantuan, kita patut tolong. Lagipun saya ada masa terluang jadi saya hanya membantu apa yang patut,” ujarnya yang tinggal di Rumah Awam Banda Hilir.

Tambahnya, perpaduan antara kaum di perumahannya masih utuh dan sambutan perayaan Tahun Baharu Cina juga baru sahaja dijalankan semalam melibatkan kerjasama semua kaum.

Ng Soon Tye

Ng Soon Tye: “Kami hidup harmoni berjiran dan sedia membantu walaupun berbeza kaum.”

 

Salah seorang warga emas tersebut, Ng Soon Tye, 81 berkata kehidupan berjiran di kawasan perumahannya sangat harmoni dan mereka sentiasa sedia membantu antara satu sama lain walaupun berbeza kaum.

“Saya memang banyak minta tolong dengan jiran sebab saya tinggal berdua sahaja dengan saudara dan dia pun uzur seperti saya. Anak-anak pula sudah berkeluarga dan kerja di KL (Kuala Lumpur), jadi jiran-jiran sudah jadi keluarga saya,” ujar Soon Tye yang mempunyai dua orang anak.

Katanya, ini merupakan kali pertama dia menerima sumbangan sempena sambutan perayaan Tahun Baharu selain daripada Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang diperoleh tiga kali setahun.

“Saya rancang duit RM200 yang saya terima hari ini dipakai untuk beli sedikit barang rumah untuk sambut Tahun Baharu, nak buat kuih pun dah tak larat, sebab pinggang selalu sakit, selalu tampal koyok,” jelasnya.

Menurutnya lagi, adakalanya jirannya akan sengaja masak lebih dan memberikannya lauk kerana dia sudah tidak mampu untuk menyediakan makanan setiap hari dan kebiasaannya hanya membeli makanan di kedai, juga dengan bantuan jiran sebelah.

Tambahnya lagi, walaupun anaknya jarang untuk balik menjenguknya, tapi mereka sentiasa menghubunginya dan memberikan elaun bulanan untuk perbelanjaannya seharian.

KM Idris Haron 1

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron, menyampaikan sumbangan Tahun Baharu Cina kepada3,000  warga emas negeri Melaka di Seri Negeri dengan peruntukan sebanyak RM300,000.

 

“Mereka sangat sibuk, jadi jarang balik. Tapi kalau hari raya mereka pasti balik, walaupun hanya dua hari, tapi saya sudah gembira dapat tengok wajah mereka dan dua orang cucu saya,” katanya.

Jelas Soon Tye, sesekali dapat keluar dari rumah seperti hari ini dapat membuatnya gembira, bukan hanya kerana dapat menerima sumbangan tapi juga dapat mengenakan pakaian yang cantik dan bertemu kawan-kawan lama.

Namun begitu, sambutan perayaan tahun ini, dia tidak menyediakan pakaian baru untuk diri sendiri dan disambut ala kadar sahaja sambil menanti anak dan cucu serta saudara mara mengunjunginya.

“Kita hidup ni cincai saja la, yang penting kita sihat itu sudah cukup, tak perlu nak harap perhatian yang berlebihan daripada anak-anak sebab mereka juga sudah ada keluarga sendiri. Kalau saya sakit, mereka akan balik juga tengok saya,” kata Soon Tye.

Tambahnya, dia gembira dengan kehidupan sederhana kerana mendiang suaminya meninggalkannya dengan rumah tanpa perlu menanggung hutang.

“Saya tak perlu fikir nak bayar apa-apa, cuma setahun sekali saja nak bayar cukai pintu yang kini dah naik. Selain dari itu, saya cukup makan dan paling penting jiran-jiran yang baik dan selalu membantu,” katanya.

Soon Tye ditemui bersama 3,000 penerima sumbangan dari tiga buah parlimen di negeri ini dengan peruntukan sebanyak RM300,000 dalam Majlis Penyampaian Sumbangan Sempena Tahun Baharu Cina yamg turut dihadiri oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron di Seri Negeri, di sini, semalam.

 

-DZ/AAS

Tinggalkan komen anda