Skip to main content
Home

Rantau Panjang Terjejas, Air Sungai Golok Melimpah

By 2 Januari 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

PASIR MAS, 2 Jan — Puluhan peniaga di kawasan zon bebas cukai di pekan Rantau Panjang terjejas selepas air Sungai Golok melimpah sejak malam tadi.

Tinjauan Bernama di pekan tersebut mendapati peniaga menutup premis perniagaan masing-masing kerana bimbang dengan keadaan paras air sungai yang semakin naik berikutan hujan berlarutan di bahagian tengah dan hulu Kelantan sejak beberapa hari lepas.

Selain itu, ratusan penduduk di beberapa kampung yang tinggal berhampiran tebing sungai turut dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan banjir selepas rumah mereka ditenggelami air sedalam 0.5 meter hingga 1 meter.

Peniaga tudung, Darukni Zulkifli, 31, berkata walaupun demam, dia terpaksa datang ke kedainya seawal 8 pagi bagi mengemas barangan sejak pekan itu mula dinaiki air malam tadi.

“Terpaksalah datang walaupun demam kerana nak kemas kedai. Saya bimbang jika hujan terus berlarutan, air akan naik semakin tinggi dan menenggelamkan kedai.

“Ketika banjir besar pada 2014 dahulu, saya kerugian ribuan ringgit apabila tidak dapat menyelamatkan barangan sehingga terpaksa melelong tudung RM5 sehelai,” katanya ketika ditemui di kedainya di pekan Rantau Panjang di sini, hari ini.

Darukni berkata dia memindahkan barangan jualannya ke tingkat atas kedai dengan bantuan beberapa pekerjanya.

Peniaga kain, Hasrullizam Shaari, 41, berkata dia dan pekerjanya melakukan persediaan awal dengan memindahkan barangan perniagaan ke tempat lebih selamat.

“Setakat ini, sambil-sambil kemas barang, saya turut buka kedai kepada pelanggan yang datang. Tengoklah macama mana, kalau hujan berterusan dan air makin naik, saya akan tutup operasi.

“Semalam, air naik perlahan sahaja namun semakin cepat sejak tengah malam tadi. Bimbang juga kerugian kalau tak sempat selamatkan barangan,” katanya yang berniaga di kawasan itu sejak enam tahun lepas.

Sementara itu, seorang penduduk, Habsah Abdul Hamid, 74, yang tinggal di Kampung Dalam Peladang berkata dia berpindah ke pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Rantau Panjang 2 di sini, pada 11 pagi tadi.

Beliau berkata kawasan rumahnya mula dinaiki air sedalam 0.3 meter pada 12 malam tadi, namun memutuskan untuk berpindah pada pagi tadi kerana tinggal kira-kira 300 meter dari pusat pemindahan banjir.

Azman Abdul Kadir, 38, dari Kampung Dedap di sini, berkata dia sekeluarga berpindah pada 4 pagi tadi selepas kawasan rumahnya dinaiki air sedalam kira-kira satu meter.

“Saya dan isteri mendukung tiga anak yang berusia enam tahun, dua tahun dan lapan bulan, sejauh kira-kira satu kilometer untuk ke pusat pemindahan ini selepas kawasan rumah dinaiki air paras dada,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda