Oleh Lim Sey Ken
BATU PAHAT, 3 Jan (Malaysiaaktif) — Bagi mereka yang kurang berkemampuan merasa agak lega apabila menerima sumbangan menjelang tahun baru dan sesi persekolahan 2017. Bagi ibu bapa, sesi persekolahan yang baru memerlukan kewangan yang lebih untuk membeli keperluan persekolahan anak-anak.
Oleh itu, MCA Cawangan Parit Imam telah mengadakan aktiviti menyampaikan sumbangan kepada mereka yang kurang berkemampuan di kawasan tersebut bertempat di BP Mall semalam.
Seramai lima puluh orang penerima sumbangan yang terdiri dari pelbagai kaum merasa lega dengan sumbangan dan bantuan yang disampaikan ini. Selain dapat meringankan beban membeli peralatan persekolahan anak-anak, sumbangan tersebut juga dapat meringankan beban mereka yang bakal menyambut Tahun Baru Cina tidak lama lagi.
Menurut seorang penerima, Choo berkata, “bantuan ini dapat meringankan sedikit beban yang ditanggung keluarga saya lebih-lebih lagi ketika Sambutan Tahun Baru Cina semakin hampir.”
Dalam majlis tersebut, turut diadakan persembahan tarian dan nyanyian sebagai menyambut Tahun Baru 2017.