Skip to main content
Berita TempatanSabah

YADIM, UMS Ajak Selami Erti Kemanusiaan

By 16 Januari 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

  Laporan dan Foto oleh: Malina Jamarin (Sabah)

KOTA KINABALU, 16 Jan (Malaysiaktif) – Dakwah tidak harus dilaksanakan oleh Institut keagamaan sahaja, masyarakat seharusnya diajak bersama terutama menyelami erti kemanusiaan berikutan penindasan atau kesan bencana yang berlaku.

Slogan “Sampaikan Daripadaku Walaupun Satu Ayat” terus menjadi pegangan Yayasan Islamiah Malaysia (YADIM) untuk terus berdakwah bukan sahaja dalam negeri malah luar negara.

Menurut Pengarah YADIM Cawangan Sabah, Samin Ongki, YADIM dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan bekerjasama mengajak masyarakat untuk berdakwah menerusi sumbangan kewangan.

3. Samin (Tiga dari kiri) menyerahkan Tabung Kemanusiaan Acheh kepada Datuk Bandar KK, Datuk Yeo Boon Hai

Samin (Tiga dari kiri) menyerahkan Tabung Kemanusiaan Acheh kepada Datuk Bandar KK, Yeo Boon Hai

“Masyarakat seluruh Sabah boleh beramal bersama YADIM dan UMS melalui sumbangan kewangan. Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan tersebut di beberapa buah masjid terpilih di sekitar Bandar Raya Kota Kinabalu.

“Antara masjid tersebut ketika ini iaalah Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, Masjid UMS, Masjid Ibu Pejabat Polis Kepayan, Masjid Al Kauthar Tanjung Aru, Masjid Daerah Putatan, Masjid Kementerian Komunikasi, Multimedia Malaysia (KKMM) dan Masjid Ibu Pejabat Polis Penampang.

Samin berkata demikian selepas Pelancaran Tabung Kemanusiaan Acheh di Pejabat Naib Canselor, UMS pada Isnin.

“Melalui pelancaran tabung kemanusiaan Acheh ini seluruh masyarakat di negeri ini berpeluang beramal bagi meringankan kesengsaraan segelintir masyarakat di negara tersebut yang sengsara akibat bencana yang berlaku.

“Jawatankuasa ini juga akan bekerjasama dengan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bagi menempatkan tabung berkenaan di DBKK bagi membolehkan orang ramai menyalurkan sumbangan tersebut,” jelasnya.

Selaku Ketua Penyelaras Kutipan tabung ini, Samin menjelaskan bagi kutipan Tabung Kemanusiaan Acheh ini kami menyasarkan tempoh sehingga 24 Januari ini dengan kutipan berjumlah RM50,000.

“Jumlah kutipan tabung ini akan diserahkan kepada Jawatankuasa bencana di Acheh pada 26 Januari ini,” ujarnya.

Terdahulu Tabung Kemanusiaan Rohingya yang dilancarkan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Mohd Ariffin Mohd Arif di Masjid Negeri pada Disember tahun lalu diserahkan kepada Pengarah Lembaga Tabung Haji (TH) Sabah, Datin Nurlaila Said.

Tabung Kemanusiaan Rohingya yang berakhir pada Isnin mendapat sumbangan dengan kutipan RM 49,550 yang diserahkan oleh Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Mohd Harun Abdullah.

Samin (Kanan) menyerahkan Tabung Kemanusiaan Acheh kepada Pengerusi Jawatankuasa Masjid Daerah Putatan, Mohd Yunus Ismail

Samin (Kanan) menyerahkan Tabung Kemanusiaan Acheh kepada Pengerusi Jawatankuasa Masjid Daerah Putatan, Mohd Yunus Ismail

Dalam pada itu, Nurlaila berkata TH akan memastikan bantuan orang ramai ini akan dapat meringankan beban masyarakat Rohingya ketika ini.

“Pihak TH akan cuba melihat cara terbaik bagi menyalurkan bantuan ini agar benar-benar dapat membantu penduduk berkenaan,” ujarnya.

Sementara itu, penderma yang hanya ingin dikenali sebagai Marlin, 40, berkata  tabung ini dapat memberi peluang kepada masyarakat untuk menderma semampunya bagi meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa bencana di negara terbabit.

“Kewujudan tabung ini baik untuk orang ramai beramal selain dapat menyalurkan sumbangan kepada agensi yang tepat. Tabung ini memberi keyakinan masyarakat untuk menderma kerana ketika ini terlalu banyak tabung derma yang dikhuatiri kesahihannya,” katanya di DBKK.

-SF

Tinggalkan komen anda