Skip to main content
Berita TempatanSabah

Akademik, Kemahiran Jamin Masa Depan Belia

By 28 Februari 2017Tiada komen2 minit bacaan

Laporan & Foto: Sahiman Rahman (Sabah)

KUDAT, 28 Feb (Malaysiaktif) –Kejayaan tidak akan dapat dikecapi tanpa usaha berterusan, persis “yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang”. Setiap individu perlu yakin bahawa tiada yang mustahil untuk terus menikmati keindahan kejayaan yang bakal diperoleh.

Begitulah, semangat dan keyakinan seorang peserta kursus kemahiran membuat kek dan roti yang diadakan di Dewan Arena, Pejabat Belia dan Sukan, Kudat pada Ahad.

Peserta Normahnila Musah, 30-an, meluahkan rasa bertuah apabila terpilih menyertai kursus terbabit kerana selama ini dia tidak mempunyai asas kemahiran membuat kek mahupun roti, namun setelah hadir kursus dia melihat banyak peluang.

Normahnila bersama rakan belia lain sedang melakukan latihan menghasilkan biskut pada kursus berkenaan.

Normahnila bersama rakan belia lain sedang melakukan latihan menghasilkan biskut pada kursus berkenaan.

“Sebelum menghadiri kursus ini saya berfikir pasti membosankan tetapi setelah menghadirinya saya melihatnya sebagai sesuatu yang bermanfaat dan mengubah pemikiran bahawa saya pasti boleh melakukannya.

“Terlintas di benak pemikiran bahawa inilah peluang saya meningkatkan ekonomi keluarga, sikit-sikit lama-lama jadi bukit,” ujarnya.

Sementara itu, Penolong Pegawai Daerah Kudat, Abdul Ghapar Abdul Rahman berkata, kelulusan akademik semata-mata tanpa ada kemahiran yang khusus tidak akan menjamin masa depan cemerlang kepada belia hari ini.

“Kursus anjuran Kementerian Belia dan Sukan daerah Kudat ini boleh jadi nilai tambah kepada kelulusan akademik yang sedia ada untuk memajukan diri dalam bidang yang berbeza seperti kursus ini.

“Para belia hari ini sebenarnya mendapat peruntukan besar daripada kerajaan terutama yang minat berniaga. Semoga kursus seumpama ini boleh dijadikan asas peniagaan serta dapat menjana pendapatan yang lumayan kepada para peserta,” jelasnya.

kudatkek3

Peserta kursus sedang mendengar taklimat.

 

Dalam pada itu, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kudat, Mat Rudi Baluan, berkata selain kursus kemahiran membuat  kek, bun dan roti para peserta juga diajar dan didedahkan berkenaan pengurusan pentadbiran perniagaan khususnya dalam membuat anggaran belanjawan.

“Kementerian Belia dan Sukan sebenarnya mempunyai peruntukan khusus kepada belia yang aktif berusaha dalam bidang perniagaan. Selain mendapat bantuan kewangan, belia usahawan turut berpeluang memperoleh pelbagai bantuan termasuk kaunseling agar belia sentiasa yakin

Jelasnya, hari ini ramai belia gagal di pertengahan perjuangan kerana terlalu ghairah mengejar tanpa melihat dan sabar mengurus perbelanjaan akhirnya tumpas dan gagal meneruskan perniagaan.

Antara produk  yang berjaya dihasilkan peserta semasa menghadiri kursus tersebut.

Antara produk yang berjaya dihasilkan peserta semasa menghadiri kursus tersebut.

 

“Diharap peserta kursus hari ini melihat industri makanan berasaskan roti ini dapat melihat dalam suasana yang lebih luas terutama pasaran perniagaan bakeri di daerah ini dan terus yakin untuk berjaya jika diusahakan dengan baik,” ujarnya.

Kursus yang dianjurkan selama tiga hari itu melibatkan seramai 26 peserta terdiri daripada belia di seluruh daerah berkenaan yang disampaikan oleh Nancy Lim daripada School of Cooking & Baking, Penampang.

-SF

Tinggalkan komen anda