
Laporan / Foto : Mohd Suhaidi Mat Jusoh (Kota Bharu)
KOTA BHARU, 28 Feb (Malaysiaaktif) – Program Diskusi Berparlimen Raja Berperlembagaan Peringkat Negeri Kelantan berjaya menarik minat belia untuk lebih memahami tentang undang-undang serta perlembagaan negara.
Pelajar Politeknik Kota Bharu, dari Jabatan Kejuruteraan Awam, Aniq Syahmi Azmi menjelaskan program ini dapat dijadikan suatu motivasi kepada pelajar khasnya golongan muda dalam memberi pendapat serta dapat berhujah memberikan pandangan terhadap sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan di negara ini.
“Program ini amat baik terutamanya untuk para belia agar dapat memahami tentang sistem pentadbiran dan perundangan yang diamalkan sejak dahulu lagi,” ujarnya yang turut terlibat di dalam program tersebut, di sini.

Suatu pendedahan yang cukup bermakna dalam memahami konteks sebenar sistem perlembagaan negara – Amyrah
Sementara itu, pelajar kursus Kejuteraan Mekanikal Pertanian, Amyrah Alina Mohd Amerul Asri, menyatakan bahawa ianya suatu kewajipan untuk setiap rakyat memahami sistem demokrasi yang diamalkan ini.
“Sistem demokrasi raja berperlembagaan harus difahami oleh semua golongan masyarakat tanpa mengira warna kulit dan keturunan.
“Ianya diamalkan sejak sekian lama menjadi tonggak kepada kesejahteraan dan kemakmuran Malaysia walaupun terpaksa mengharungi pelbagai rintangan serta cabaran namun masih kekal relevan sehingga ke hari ini,” jelasnya yang turut aktif berdebat mewakili institut pengajiannya.
Program tersebut diadakan di Dewan Jubli Perak, Politeknik Kota Bharu, Kok Lanas, Kelantan.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Kok Lanas, Datuk Md. Alwi Che Ahmad, yang turut merasmikan program berkenaan, Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Datuk Ibrahim Abdul Rahman, dan Pengarah Politeknik Kota Bharu, Haji Noor Azahan Othman.