Skip to main content
Berita TempatanSabah

Sabah Bakal Pusat Ternakan Kerbau Sawah Utama Negara

By 25 Februari 2017Tiada komen4 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

Oleh: Yahya Abdul Rajak / Foto: Azman Jumat (Sabah)

KOTA KINABALU, 25 Feb (Malaysiaktif) – Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi projek meningkatkan produktiviti ternakan kerbau sawah melalui pengubahsuaian amalan penternakan bakal menjadikan Sabah pusat penyelidikan dan pembiakan kerbau sawah yang utama di Malaysia.

Memorandum Persefahaman antara National Institutes Of Biotechnology Malaysia (NIBM) dengan Jabatan Perkhidmatan Haiwan dan Perusahaan Ternakan Sabah (JPHPT) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) tentunya akan memberi faedah kepada semua pihak yang terlibat dalam penternakan kerbau di negeri ini.

Menurut Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Yahya Hussin, ternakan kerbau sememangnya kurang diberi penekanan dan melalui forum serta MoU ini semenangnya bertepatan pada masa Rancangan Malaysia Ke-11, Sabah memberi fokus kepada pembangunan ternakan ruminan ini.

Pengarah JPHPT, Dr.Yeo menyerahkan dokumen perjanjian kepada Pengarah Penyelidikan NIBM-ABI

Pengarah JPHPT, Dr.Yeo menyerahkan dokumen perjanjian kepada Pengarah Penyelidikan NIBM-ABI

“Ternakan kerbau merupakan sejenis haiwan yang penting dan bernilai, bukan sahaja dimanfaatkan sebagai sumber daging merah tetapi sebagai haiwan tenaga kerja di sawah padi dan ladang sawit.

“Dari segi pertumbuhan, industri ternakan ruminan di Sabah juga masih agak perlahan selain beberapa kekangan seperti jumlah stok, produktiviti dan keupayaan reproduktif yang rendah serta mortality dan penyembelihan tinggi telah melambatkan pertumbuhan ternakan tersebut.

Yahya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, berkata, penternak kecil yang memiliki sebahagian besar ternakan juga menghadapi masalah seperti kecurian dan masih menggunakan teknologi lama yang kurang efektif.

“Malah kepesatan teknologi dalam bidang pertanian menyebabkan kurangnya penggunaan kaedah tradisional ini menyebabkan ternakan ini dibiar berkeliaran tanpa pengurusan rapi.

Tambahnya, melalui kolaborasi antara pihak terbabit dalam membangun dan menyelidik ternakan kerbau ini di Sabah yang berpusat di Ladang Pembanyakan dan Penyelidikan Kerbau di Telupid mampu memberikan hasil yang baik.

“Difahamkan hasil penyelidikan ini telah bermula awal dan hasilnya amat positif terhadap peningkatan dalam skor tubuh kerbau ‘body scoring’, kadar kebuntingan dan kelahiran serta penurunan kepada kadar kematian.

“Keberhasilan ini membolehkan JPHPT memperluas lagi ruang lingkup penyelidikan bagi mewujudkan sebuah ‘nucleus herd’ kerbau dengan bantuan dana sebanyak RM2.1 juta daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (MOSTI).

Yahya berkata demikian semasa merasmikan Seminar Penternakan Kerbau dan Majlis Menandatangani Perjanjian Projek “Enhancing The Productivity of Farmed Buffalo Through Modification of Rearing Practices” di sebuah hotel di sini semalam.

Terdahulu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (MOSTI), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata kerbau sawah ialah spesies yang terabai dari segi penyelidikan dan pengeluaran walaupun di Malaysia kerbau merupakan sumber penting protein dan daging.

Wilfred Madius Tangau menyampaikan ucapan pada Majlis tersebut.

Wilfred Madius Tangau menyampaikan ucapan pada Majlis tersebut.

“Kerbau berpotensi sebagai pengeluar susu, malah keju mozzarella asli diperbuat daripada susu kerbau.

Jelasnya, kerajaan menyasarkan pengeluaran daging tempatan sebanyak 50 peratus daripada keperluan negara menjelang 2022.

“Negara ketika ini menghasilkan 28 hingga 30 peratus daging lembu dan kerbau bersamaan 170,000 tan metrik, kekurangan sebanyak 70 peratus menyebabkan negara terpaksa menampung melalui import daging luar negara.

“Menyedari kepentingan dan potensi kerbau menyumbang kepada keperluan daging ini NIBM bersama JPHPT dan UPM berkerjasama memulakan penyelidikan kerbau sawah yang merangkumi aspek pemakanan, pembiakbakaan dan kesihatan.

“Diharap dengan projek ini, 90 peratus daripada baka induk memiliki ciri baka ternakan baik bagi mengurangkan kadar kematian anak kerbau di samping meningkatkan kehamilan sekurang-kurangnya 65 peratus.

Tambahnya, penyelidikan ini turut melibatkan penambahbaikan genetik kerbau dan mempercepat jarak kelahiran dari dua tahun ke setahun dan setengah tahun bagi meningkatkan hasil pengeluaran baka kerbau.

“Kombinasi kerjasama ini memperlihatkan NIBM dan UPM akan lebih menjalankan kajian penyelidikan dalam bidang pemakanan dan nutrisi bagi memastikan kerbau dihasilkan lebih baik daripada bakal asal.

“Penyelidikan terhadap makanan peting kerana dapat menjimatkan kos pembiakan sebanyak 30 peratus.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Haiwan dan Perusahaan Ternakan, Datuk Dr. Yeo Boon Kiat menjelaskan ketika ini terdapat penurunan pembiakan kerbau di negeri ini daripada 45 hingga ke 47 peratus.

“Penurunan ini menyebabkan jumlah ternakan kerbau menurun daripada 25 ribu sekitar tahun 2000 kepada 20 ribu kini.

Katanya, walaupun terdapat beberapa program skim bantuan ternakan kepada penternak-penternak kerbau di negeri ini tetapi masih tidak dapat meningkatkan keperluan kepada bilangan jumlah kerbau yang banyak.

“Melalui pelaksanaan projek ini diharapkan dapat memastikan kelestarian sumber daging bagi bekalan tempatan boleh dikomersialkan sebagai salah satu sumber daging alternatif negara.

SF

Tinggalkan komen anda