Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

SPR Puji Pengundi Tanjong Datu

By 18 Februari 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh: Genda Sating / Foto: Cassidy Lisut

LUNDU, 18 Feb (Malaysiaaktif) – Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah, memuji kematangan berpolitik pengundi di Tanjong Datu pada hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) ini.

Katanya, suasana sepanjang hari pengundian adalah tenang, tiada provokasi dan penyokong-penyokong juga tidak bertindak agresif termasuk tiada percubaan untuk memecah masuk ke tempat mengundi.

Hashim melawat petugas SPR di SJK Chung Hua Lundu

Hashim melawat petugas SPR di SJK Chung Hua Lundu

“Suasana inilah yang kita harapkan dan jika semua tempat begini, saya yakin kita dapat melaksanakan satu pilihan raya yang betul-betul tenang dan harmoni agar proses pilihan raya dapat berjalan lancar” ujarnya ketika ditemui wartawan sewaktu mengadakan lawatan di Pusat Pengundian bertempat di SJK Chung Hua Lundu.

Hashim turut memuji semangat yang ditunjukkan oleh para pengundi di kawasan DUN Tanjong Datu yang telah keluar awal untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing.

“Walaupun cuaca mendung dan hujan renyai-renyai namun pengundi kelihatan bersemangat dan ramai yang turun awal mengundi,” katanya lagi.

Salah seorang pengundi kelainan upaya dibantu oleh petugas SPR

Salah seorang pengundi kelainan upaya dibantu oleh petugas SPR

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Lundu, Wong Chee Keong berkata, tiada laporan diterima oleh pihak polis sepanjang 14 hari tempoh berkempen PRK yang bermula pada 4 Februari lepas.

Menurut Wong lagi, lebih daripada 600 anggota polis telah dikerah untuk bertugas bagi mengawal trafik dan tempat pengundian.

Katanya lagi, pihak polis terus menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa sehingga PRK kali ini selesai diadakan.

Dalam pada itu, seramai 68% pengundi telah keluar mengundi sehingga 5.00 petang tadi.

SF 

Tinggalkan komen anda