Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeSelangor

Isu Keselamatan dan Kesihatan Di Sekolah, Dipertingkat Dengan OSH

By 14 Mac 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

Laporan / foto oleh Abdul Razak Zakaria

BANGI, 14 Mac (Malaysiaaktif) – Pengenalan Program Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) di sekolah dilihat sebagai instrumen terbaik kepada konsep memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pelajar dan pekerja yang bekerja di sekolah dapat dilindungi sepenuhnya.

Program ini merupakan penambahbaikan kepada pengenalan Rancangan Kesihatan Sekolah (RKS) pada tahun 1967 dan Projek Sekolah Selamat pada tahun 2002 yang mewartakan sekolah juga tertakluk kepada Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (OSHA 1994).

Menurut Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem, pelaksanaan OSH di sesebuah tempat kerja khususnya di sekolah menjurus kepada peningkatan kecemerlangan, kualiti dan imej sektor perkhidmatan. Ibu bapa juga harus memberi kepercayaan kepada pihak sekolah untuk menjaga keselamatan dan kesihatan, fizikal dan mental anak-anak.

WhatsApp Image 2017-03-14 at 2.41.37 PM (1)

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem menyempurnakan gimik pelancaran OSH di Menara NIOSH, Bangi.

“Pendekatan ‘Sekolah Selamat’ bukan sekadar berkisar pada aspek yang berteraskan disiplin, jenayah, ancaman kepada keselamatan pelajar, buli dan gangsterism malah ia merangkumi keselamatan bangunan, bilik darjah, peralatan dan semua kemudahan di sekolah,” jelas Richard Riot semasa seminar Pengurusan OSH di Menara NIOSH, di sini hari ini.

Menurut peserta program, Encik Hazari Mohamad dari Sekolah Kebangsaan Alam Damai, program yang dianjurkan ini sangat membantu pihak guru dan sekolah menerima pelbagai maklumat dan ilmu yang berkaitan keselamatan yang harus diamalkan di sekolah seterusnya boleh diamalkan oleh semua pihak supaya kemalangan di sekolah dapat dielakkan.

“Guru seharusnya memastikan keselamatan dan kesihatan dapat dipupuk dalam kurikulum sekolah bagi melahirkan sebuah generasi yang memberi keutamaan terhadap aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan di dalam semua bidang pekerjaan,” ujar Hazari Mohamad.

Program selama satu hari yang memberi fokus dalam aktiviti penyebaran maklumat kepada guru-guru, pegawai pentadbiran dan kakitangan sekolah ini agar kesedaran terhadap isu semasa dan tanggungjawab pekerja serta majikan disekolah dapat diutamakan.

Melalui program ini juga ia akan menggalakkan majikan mempertingkatkan kemahiran pekerja melalui latihan keselamatan dan kesihatan pekerjaan seterusnya dapat mengurangkan kejadian kemalangan di tempat kerja ataupun sekolah.

 

-MSM

Tinggalkan komen anda