Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala LumpurWilayah Persekutuan

KKKA Jalan Cochrane Sinar Baharu Buat Penjawat Awam

By 29 Mac 2017Mac 31st, 2017Tiada komen3 minit bacaan

Laporan oleh : Norlydiana Ishak / Foto oleh : Nornisah Khairoji

KUALA LUMPUR,  28 Mac (Malaysiaaktif) – Keputusan membangunkan semula Kompleks Kediaman Jalan Cochrane, Kuala Lumpur, dilihat sebagai komitmen Kerajaan dalam memastikan keperluan dan kebajikan rakyat khususnya penjawat awam dipenuhi.

Menurut Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa, projek ini adalah kesinambungan aspirasi ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ oleh Kerajaan dalam membantu penjawat awam memiliki kuarters yang kondusif untuk didiami

“KKKA Jalan Cochrane melibatkan pembinaan semula kediaman bernilai RM220 juta di atas tanah berkeluasan 8.9 ekar dengan menyediakan 896 unit kediaman termasuk lapan unit kediaman khusus untuk orang kelainan upaya (OKU).

WhatsApp Image 2017-03-29 at 10.09.43 AM

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa semasa ucapan perasmian Kompleks Kediaman Kakitangan Awam (KKKA), Jalan Cochrane Kuala Lumpur.

“Setiap unit kediaman berkeluasan 1,000 kaki persegi dan lebih luas jika dibandingkan dengan kediaman lama yang dibina pada tahun 1933,” kata Tan Sri Ali semasa Majlis Pelancaran KKKA Jalan Cochrane, di sini, semalam.

Projek ini juga mendapat kerjasama Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) melalui konsep pertukaran tanah di mana ia mengambil tempoh pembinaan selama 36 bulan dan siap sepenuhnya pada 27 Januari 2017 serta dilengkapi dengan 1028 unit parkir, dewan serba guna, surau, taska, tadika, kedai, padang dan empat unit ruang pejabat.

WhatsApp Image 2017-03-29 at 10.11.11 AM

Contoh bentuk dan keluasan dapur unit kediaman Kompleks Kediaman Kakitangan Awam, Jalan Cochrane, Kuala Lumpur.

“Para penghuni KKKA ini hanya akan membayar sewa pada kadar harga yang jauh lebih rendah daripada harga pasaran melalui potongan elaun seperti yang telah ditetapkan dengan kos penyelenggaraan ditanggung sepenuhnya oleh pihak Kerajaan,” tambahnya lagi.

Seramai 30 orang dari 200 orang bakal penghuni kuarters yang berjaya dalam permohonan memiliki rumah KKKA Jalan Cochrane, Kuala Lumpur diraikan dalam Majlis Penyerahan Kunci, sebagai tanda simbolik pembukaan Kompleks Kediaman Kakitangan Awam Jalan Cochrane.

Bagi seorang kakitangan OKU di Kementerian Luar Negeri, Saiful Aiman Abdul Ghani, 28,  beliau berasa amat gembira dan bertuah kerana berjaya dalam permohonan kali ini setelah 3 tahun mencuba.

WhatsApp Image 2017-03-29 at 10.11.47 AM

Pujian harus diberikan kepada KKKA Jalan Cochrane, Kuala Lumpur kerana menyediakan unit kediaman khusus untuk orang kurang upaya (OKU) – kakitangan OKU di Kementerian Luar Negeri, Saiful Aiman Abdul Ghani

“Saya rasa bersyukur dan terharu kerana impian untuk memiliki rumah sendiri akhirnya berjaya dan secara tidak langsung dapat mengurang kos sara hidup saya”, katanya.

Pegawai Jabatan Penerangan, Nabihah Mohd Yunus, 29, yang juga merupakan bakal penghuni KKKA Jalan Cochrane, Kuala Lumpur melahirkan rasa bersyukur kerana permohonan yang dibuat sejak tahun 2009 untuk mendapatkan kuarters telah diluluskan.

WhatsApp Image 2017-03-29 at 10.12.05 AM

Kini waktu ke pejabat boleh disingkatkan dan dapat menjimatkan perbelanjaan harian – Pegawai Jabatan Penerangan, Nabihah Mohd Yunus.

“Dengan adanya kuarters ini, saya tidak perlu lagi meredah kesesakan lalu lintas untuk ke tempat kerja kerana lokasi kuarters ini tidak jauh dari tempat kerja saya.

“Selepas ini masa dan kos untuk ke tempat kerja dapat dijimatkan kerana perjalanan ke tempat kerja menjadi semakin singkat. Insyaallah dapatlah kami sekeluarga menyambut puasa dan hari raya di rumah baru” katanya lagi.

Turut hadir di majlis penyerahan ini adalah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Sri Zainal Rahim Seman dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz.

-MSM

Tinggalkan komen anda