
Laporan / foto oleh Mohd Shahqrul Azim Shaari (Kota Tinggi)
KOTA TINGGI , 29 Mac (Malaysiaaktif ) – Seramai 145 peserta Orang Kelainan Upaya (OKU) dan Pelatih Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dari seluruh negeri Johor telah mengambil bahagian dalam Festival Kebudayaan dan Kesenian OKU Peringkat Negeri Johor 2017, di sini pada Ahad.
Menurut peserta OKU cacat penglihatan yang berasal dari Kluang, Irfan Daniel Abdullah, 17, dia bersyukur kerana diberi peluang untuk mengetengahkan bakat yang dimilikinya dalam bidang nyanyian.
“Saya berterima kasih kepada pihak JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) yang telah mengadakan pertandingan ini. Pertandingan sesama rakan-rakan senasib dengan saya ini dapat memberikan saingan yang sihat antara kami sekaligus menonjolkan bakat terpendam kami,” kata Irfan yang memenangi kategori Nyanyian Solo kategori PDK.

Gerai daerah Pontian turut mengambil bahagian dalam Festival Kebudayaan dan Kesenian OKU Peringkat Negeri Johor 2017.
Program yang mempertandingkan pelbagai acara seperti Nyanyian Solo, Nyanyian Duo, Tarian Rampai 1Malaysia dan Gerai Jualan Terbaik ini bertujuan memupuk semangat cintakan seni dalam kalangan pelatih PDK dan OKU di samping memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa masyarakat OKU juga mampu berdaya saing.
Program anjuran JKM Negeri Johor mulai 24 hingga 26 Mac 2017 ini diadakan sempena Hari Keputeraan Rasmi Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar yang disambut pada 23 Mac setiap tahun.
Timbalan Pengarah JKM Johor, Rosnah Sardi berkata program ini memberi peluang kepada peserta OKU dan pelatih PDK dalam mengetengahkan bakat terpendam mereka.
“Antara inisiatif kerajaan negeri untuk membantu golongan OKU di luar arus perdana ialah mengubahsuai Bengkel Sampul Surat di Batu Pahat. Bengkel berkenaan dijangka dapat memuatkan tambahan pelatih sebanyak 50 orang lagi untuk bekerja di sana berbanding hanya 100 orang sahaja kini.
“Selain bengkel sampul surat, inisiatif lain yang diambil kerajaan negeri ialah untuk memberikan kuota 10% kepada golongan OKU bagi pemilikan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ),” jelasnya.

Juara pertandingan membawa pulang hadiah berupa wang tunai, plak kemenangan dan sijil penyertaan.
Pertandingan Nyanyian Duo PDK dan OKU telah dimenangi oleh peserta-peserta dari Johor Baru iaitu Haikal Shamsudin dan Nurshahira Moosa serta Haikal Zainoren dan Muhd Khairul Amir Ab Latif. Juara Nyanyian Solo OKU pula dirangkul oleh Haikal Zainoren dari Johor Baru.
Juara Nyanyian Duo membawa pulang wang tunai RM500, plak kemenangan dan sijil penyertaan, manakala Juara Nyanyian Solo pula membawa pulang wang tunai RM300, plak kemenangan dan sijil penyertaan.
Majlis telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Lama, Asiah Md Ariff.
Turut hadir, ADUN Penawar, Hamimah Mansor dan ADUN Sedili, Rasman Ithnain.