Skip to main content
Berita TempatanSabah

Minat, Fasih Berbahasa Jepun Dorong Kejayaan

By 13 April 2017April 15th, 2017Tiada komen4 minit bacaan
Laporan dan foto Fauzrina Hj.Bulka (Sabah)

KOTA KINABALU, 13 Apr (Malaysiaktif) – Perasaan gembira jelas terpancar pada raut wajah seorang pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Inanam, Nur Anis Mastura Samsudin apabila dianugerahkan Pelajar Cemerlang Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dalam subjek Sejarah dan Bahasa Jepun.

Kebolehan dan kemampuan Nur Anis turut dilihat berpotensi menjadi seorang pelajar cemerlang dalam subjek berkenaan pada masa depan.

Anis ketika ditemui berkata, mempelajari kedua-dua subjek tersebut memang menyeronokkan.

“Minat mempelajari bahasa Jepun sejak pertama kali mengetahui sekolah terbabit menawarkan subjek tersebut dan menimbulkan perasaan ingin tahu yang tinggi untuk bertutur bahasa Jepun.

Pengetua Cemerlang SMK Inanam bergambar bersama para pelajar dan pihak pengurusan sekolah selepas majlis berkenaan.

Pengetua Cemerlang SMK Inanam bergambar bersama para pelajar dan pihak pengurusan sekolah selepas majlis berkenaan. Foto: PMR KK

“Tidak semua sekolah menawarkan bahasa ini dan saya segera mengambil peluang tersebut dan ibu bapa saya turut menyokong keputusan saya,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan 2017 yang diadakan di Dewan SMK Inanam pada Rabu.

Katanya lagi, memang agak rumit pada awalnya untuk menguasai bahasa Jepun, kerana perlu menghafal sesuatu perkataan tetapi dia banyak bertanya kepada guru dan membeli bahan rujukan tambahan.

“Pada pendapat saya, kita tidak perlu takut untuk mencuba mempelajari sesuatu yang baharu, yang penting kita rajin dan berminat untuk belajar serta cari pengalaman.

“Sekurang-kurangnya kita telah bersedia jika suatu hari nanti berpeluang melanjutkan pelajaran atau bekerja di Jepun,” jelasnya.

Nur Anis turut terpilih bersama tiga lagi rakannya dalam Program Integrasi bersama pelajar Nakajima Junior High School, Jepun yang berlangsung tahun lepas.

Program tersebut telah memberi peluang kepada para pelajar untuk menyelami dan meluaskan pengetahuan mereka dalam aspek budaya pembelajaran yang menjadi amalan masyarakat di Jepun.

“Sejauh mana pun kita ingin mempelajari bahasa dan budaya luar, usah sesekali melupakan asal usul dan sejarah negara sendiri,” ujar anak sulung daripada dua beradik itu.

Sementara itu, Pengetua Cemerlang SMK Inanam, Mozidah Hamzah berkata Program Integrasi tersebut dijalankan dua kali setahun yang merupakan lawatan para pelajar ke Jepun dan lawatan balas ke Malaysia dibiayai sepenuhnya oleh Datuk Bandar negara matahari terbit.

Pengetua (kiri) yang ditemui selepas majlis.

Pengetua (kiri) yang ditemui selepas majlis.

“Pada 2015, seramai tiga orang pelajar kami ditawarkan ke sana manakala pada 2016 meningkat kepada empat orang.

“Untuk tahun ini pula kita belum pasti jumlah pelajar yang akan mendapat tawaran namun keputusannya akan diketahui selepas lawatan mereka ke sini pada 25 April ini,” jelas Mozidah.

Menurutnya, pelajar yang mengambil subjek bahasa Jepun hanya akan menduduki peperiksaan ketika berada di tingkatan lima dan untuk pertama kalinya selepas subjek tersebut ditawarkan di sekolah ini, empat daripada 12 orang pelajar mendapat gred A.

“Keputusan untuk subjek bahasa Jepun yang diperoleh mereka tidak akan dimasukkan dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana akan dilaporkan dalam sijil yang berasingan malahan peperiksaannya dijalankan lebih awal berbanding SPM,” jelasnya.

Tambahnya lagi, pemilihan pelajar yang layak untuk mengambil subjek tersebut adalah daripada pelajar kelas yang terbaik namun ujian percubaan akan dibuat untuk menentukan jika sesorang pelajar itu benar-benar layak.

“Harapan saya semoga mereka yang mahir tiga bahasa akan ada lebih berpeluang berbanding calon sedia ada kerana kualiti keputusan SPM mereka adalah terbaik. Ditambah dengan kekuatan mereka yang mahir berbahasa Jepun, mereka mungkin dapat mengikuti kursus yang lebih baik di institusi pengajian tinggi nanti,”ujarnya.

Terdahulu, Datuk Bandar, Kota Kinabalu, Datuk Yeo Boon Hai mengucapkan tahniah atas kejayaan para pelajar yang menerima anugerah kecemerlangan bagi pencapaian sekolah terbabit pada tahun 2016.

Yeo Boon Hai menyampaikan ucapan perasmian Majlis Anugerah Kecemerlangan sekolah terbabit.

Yeo Boon Hai menyampaikan ucapan perasmian Majlis Anugerah Kecemerlangan sekolah terbabit.

“Diharapkan pencapaian ini tidak akan berakhir di sini malah para pelajar dapat terus mencipta kejayaan hingga ke pengajian tinggi awam dan swasta di negara ini.

“Tentunya kejayaan yang diperoleh ini bukannya mudah tanpa ada kerjasama daripada semua pihak antara sekolah, ibu bapa termasuk pelajar sendiri.

“Bagi pelajar yang tidak terpilih jangan bimbang dan sedih tahun ini masih terbuka ruang dan peluang untuk anda membuktikan menjadi seorang pelajar cemerlang pada 2017,” katanya semasa merasmikan majlis berkenaan.

Boon Hai turut mengagumi usaha pengetua yang telah melancarkan Program Sekolah Tanpa Sampah bermula awal tahun ini untuk memastikan alam sekitar sentiasa terpelihara dan dilindungi.

Pada majlis tersebut, Nur Ailen Abu Bakar, menerima Anugerah Terbilang, Pelajar Terbaik SPM 2016 diikuti Nurul Hikmah Mujaddid yang masing-masing memperoleh 7A.

Mohammad Syafiq Lamba pula menerima Anugerah Khas Bonda setelah menunjukkan kepimpinan terbaik apabila menjadi Ketua Pengawas Sekolah selain aktif dengan pelbagai kegiatan kokurikulum.

-SF

 

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda