Skip to main content
Berita TempatanSabah

Kayuhan Kaamaatan Bukan Sekadar Kayuhan Basikal Biasa

By 15 Mei 2017Tiada komen3 minit bacaan

 

Laporan dan foto: Fauzrina Hj.Bulka (Sabah)

KOTA KINABALU, 15 Mei (Malaysiaktif) – ‘Walaupun kayuhan ini sebagai satu publisiti untuk Pesta Kaamatan, namun di sebalik kayuhan ini yang perlu kita lihat ialah semangat kekitaan yang ditunjukkan oleh pengayuh yang berbilang kaum dan agama pada hari ini.”

Demikian kata Naib Pengerusi Satu, Kelab Berbasikal Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Victor Wong ketika ditemui selepas majlis Pelancaran Kayuhan Kaamaatan dalam Program Negaraku@Komuniti di Dewan Masyarakat Menggatal, pada Sabtu.

Tambahnya, 15 orang pengayuh yang terdiri daripada Cina, Melayu, Kadazan dan Sino turut melambangkan keunikan masyarakat berbilang kaum di Malaysia khususnya Sabah yang sentiasa terbuka, menyokong dan meraikan semua perayaan.

“Sambutan kayuhan Kaamatan ini sendiri amat menggalakkan daripada semua kaum. Dalam tempoh lima jam sahaja permohonan dibuka untuk sertai kayuhan, sudah lebih daripada 100 orang yang mendaftar.

“Walaupun telah dimaklum bahawa medal dan sijil hanya diberi kepada 100 yang terawal namun mereka tidak kisah kerana itulah masanya mereka berpeluang menyerlahkan semangat patriotik dan sayang akan negara sambil berkumpul bersama teman-teman dan kenalan baharu,” katanya.

Victor bersama 15 rakan lain yang mewakili enam kelab basikal menyertai Kayuhan Kaamatan sejauh lebih dua kilometer.

Menurutnya juga, semangat perpaduan antara kaum itu turut dapat dilihat dalam Kayuhan Sahur yang bakal memasuki kali ketiga tahun ini. Pengayuh berbilang kaum akan mengayuh bermula 12 tengah malam dan mengagihkan bungkusan sahur di beberapa tempat.

“Beberapa lokasi yang kami singgah adalah seperti hospital, balai polis, balai bomba dan kami akan bersahur bersama-sama di lokasi terakhir iaitu rumah anak-anak yatim,” ujarnya.

Tambahnya, di samping dapat menunjukkan semangat sayang akan negara, peroleh kesihatan yang baik dengan berbasikal dan dapat berkumpul bersama rakan-rakan berbilang kaum, pengayuh juga dapat mengumpul pahala dengan berbuat kebaikan.

Program Negaraku@Komuniti Bandaraya Kota Kinabalu turut menyediakan beberapa program antaranya Pertandingan Lintas Hormat Kontinjen Komuniti 1Malaysia (K1M), Pertandingan Pidato Negaraku dan juga Pertandingan Tarian Kreatif Tradisi.

IMG_2957

Johan Pertandingan Pidato Negaraku dimenangi oleh Shira Amira Huwaidi, 20 dari Ranau.

Menurutnya, sebagai generasi muda tanggungjawab mereka sangat tinggi untuk meneruskan semangat kemerdekaan dalam kalangan remaja.

“Orang kata kalau ingin lihat kemajuan sesuatu negara itu, lihat kepada generasi mudanya sekarang, jadi peranan kami adalah untuk menimba lebih banyak ilmu pengetahuan kerana ilmu itu ialah kunci untuk kemajuan sebuah tamadun”

“Seterusnya sentiasa menghadirkan diri dalam program-program kenegaraan seperti hari ini yang memberikan info tentang kemerdekaan, dan juga penderitaan zaman dahulu ketika ingin mencapai kemerdekaan,” katanya yang memperuntukkan hanya seminggu untuk persediaan pertandingan ini.

Shira dengan bimbingan ayahnya yang merupakan seorang guru akan mewakili Bahagian Pantai Barat Selatan ke Peringkat Negeri pada Julai 2017 di Tuaran, di sini.

Sementara itu, para peserta Unduk Ngadau Kaamatan Bandaraya Kota Kinabalu 2017 turut membuat penampilan khas dalam program yang dianjurkan oleh Jabatan Penerangan Sabah tersebut.

Kerinah Mah, peserta Unduk Ngadau Bandaraya Kota Kinabalu.

Kerinah Mah, peserta Unduk Ngadau Bandaraya Kota Kinabalu.

Salah seorang pesertanya, Kerinah Mah, 22 berkata Unduk Ngadau ini harus mencontohi sifat-sifat Hominudon yang lemah lembut, baik hati, hormat kepada orang tua dan sanggup berkorban untuk kesejahteraan rakyatnya.

“Pengaruh kuat Hominudon diharap turut dapat mempengaruhi para remaja untuk saling menyayangi tidak kira umur dan bangsa dan secara tidak langsung dapat menyayangi dan melindungi negara kita daripada pengaruh yang tidak elok,” ujarnya.

Tema ‘Kaamatan Berasaskan Perpaduan’ pada tahun ini sesuai dengan harapan Kelrinah dan dia seterusnya ingin memperkenalkan Unduk Ngadau hingga di peringkat global melalui media sosial.

“Sifat sayangkan budaya dan tanah air kita juga dapat ditonjolkan dalam Unduk Ngadau. Kami bangga mengenakan busana tradisi lengkap dengan aksesori supaya negara luar turut dapat mempelajari budaya tradisi kita,” katanya.

Program Negaraku@Komuniti disempurnakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Edward Young Oui Fah.

SF

Tinggalkan komen anda