Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Penempatan Semula Batu Sumpah

By 7 Mei 2017Tiada komen3 minit bacaan

 

Laporan dan foto: Isnaniwati Imran (Sabah)

KENINGAU, 7 Mei (Malaysiaktif) – Penduduk sekitar daerah Keningau menyambut baik penempatan semula Batu Sumpah di daerah berkenaan ke satu lokasi baharu yang lebih strategik dan dijamin pemuliharaannya.

Penempatan lokasi berkenaan yang berhampiran dengan bangunan Muzium Warisan Keningau dilihat tepat sebagai usaha memulihara khazanah penting sejarah pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.

Batu Sumpah memiliki nilai sejarah penting terutama kepada penduduk pedalaman Sabah sebagai satu simbol persetujuan penduduk peribumi negeri ini menerima gagasan pembentukan gabungan Sabah, Sarawak dan Semenanjung membentuk sebuah Negara dikenali Malaysia.

Menurut Pengerusi Komuniti 1Malaysia Pekan Keningau, Ket Lim Liew, 64, lokasi baharu penempatan Batu Sumpah ini lebih sesuai dan tepat kerana lokasi tersebut merupakan kawasan umum tempat penyimpanan pelbagai bahan sejarah di daerah ini.

“Secara tidak langsung dengan menempatkan batu tersebut di kawasan muzium membolehkan orang ramai datang berkunjung serta melihat sendiri batu berkenaan sambil dapat menghayati nilai sejarah yang terhasil.

Sementara itu, penduduk, MD. Nasir, 30, berkata daerah ini sebenarnya memiliki banyak tempat bersejarah dan menarik untuk dikunjungi.

“Salah satu sejarah negara yang tersimpan dan terukir di negeri ini terletak di daerah ini, sudah pasti batu ini perlu dijaga dan ditempatkan di suatu lokasi yang benar-benar selamat serta sesuai bagi membolehkan generasi akan datang melihat sendiri batu berkenaan secara lebih dekat.

Batu Sumpah.

Batu Sumpah.

Katanya, perjanjian yang tertera di batu berkenaan menunjukkan suatu sumpah perjanjian atau sebagai suatu prasyarat antara pemimpin terdahulu di negeri ini sebelum menyertai pakatan yang membentuk negara kita pada hari ini.

“Pengumuman Datuk Seri Mohamed Nazri yang turut akan mewartakan batu berkenaan sebagai warisan budaya juga adalah amat baik serta dapat memberi manfaat ekonomi kepada penduduk setempat.

“Apabila diangkat sebagai suatu tapak warisan budaya secara tidak langsung daerah ini bakal menerima kehadiran pelancong tempatan mahupun luar untuk melihat sendiri kewujudan batu berkenaan, “ ujarnya ketika ditemui Malaysia Aktif di pusat bandar pada Rabu

Manakala bagi guru, Siti Hajar Ginulis, 36, menyatakan perwartaan batu sumpah tersebut sebagai objek warisan akan menjamin nilai sejarah yang lebih terpelihara, dilindungi dan kekal untuk tatapan generasi akan datang.

“Ketika ini rakyat umumnya apabila menyambut Hari Malaysia setiap September, generasi hari ini lupa perkaitan dengan batu tersebut.

“Rakyat hanya tahu tarikh tersebut merupakan pembentukan Malaysia tapi rakyat tidak mengetahui terutama penduduk di negeri ini lokasi sumpah terteranya perjanjian tersebut.

Jelasnya, kerajaan negeri wajar memilih atau menjadikan daerah ini sebagai suatu lokasi penting untuk menyambut Hari Malaysia tersebut sebagai memaklumkan kepada generasi hari ini bahawa di tapak ini lah pemimpin dan rakyat Sabah bersetuju membentuk suatu negara yang dikenali Malaysia.

“Memperingati Batu Sumpah ini sebagai suatu simbolik yang tertera syarat dipersetujui penduduk pribumi bergabung sebagai Malaysia dan syarat berkenaan wajar dilindungi serta dipulihara Kerajaan Persekutuan,” jelasnya lagi.

Selain itu, penduduk setempat menyambut baik pengumuman peruntukan berjumlah RM1.025 juta oleh Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan bagi projek memindahkan dan menempatkan semula Batu Sumpah berkenaan.

Peruntukan itu juga meliputi pembinaan jalan raya baharu, tempat letak kereta, plak, tapak batu bersejarah, papan tanda serta beberapa kemudahan lain bagi memudahkan orang ramai mengunjungi dan melihat sendiri batu tersebut.

Dalam pada itu, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz ketika mengumumkan peruntukan tersebut berkata sebaik sahaja selesai kerja pemindahan, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Muzium akan mewartakan Batu Sumpah ini sebagai Warisan Budaya di bawah Enakmen Warisan Budaya (Pemuliharaan 1997) Negeri Sabah.

Tambahnya, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan melalui Jabatan Warisan Negara akan memohon kepada Kerajaan Negeri untuk mewartakan Batu Sumpah tersebut sebagai objek warisan di bawah Seksyen 49 Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645).

Nazri mengumumkan perkara tersebut semasa mengadakan sidang media selepas merasmikan Program NBOS Voluntourism Plant A Tree dan Pelancaran Tahun Melawat Keningau 2018 di Muzium Warisan Keningau pada Isnin.

SF

Tinggalkan komen anda