Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelaka

Status OKU Bukan Penghalang Jadi Johan Hafazan Al-Quran

By 7 Mei 2017Julai 17th, 2019Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh: M Zakry Chan (Melaka) / Foto Ihsan: Ustaz Murad Ahmat

MELAKA, 7 Mei (Malaysiaaktif) – Meskipun berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan, namun, itu tidak menjadi penghalang bagi Tan Mike Foong, 21, dinobatkan sebagai johan kategori Hafazan Al-Quran Lelaki di pertandingan Mahrajan Amal Islami Saudara Kita Peringkat Kebangsaan 2017, semalam.

Anak sulung daripada tiga orang adik-beradik yang lebih senang dengan panggilan Mike ini mengenang kembali detik-detik penghijrahan dalam hidupnya setelah memahami makna ayat Kursi yang menjelaskan sifat-sifat Allah, dia akhirnya bertekad memeluk Islam sebagai landasan hidupnya.

“Pendedahan dengan aktiviti berkaitan Islam sejak di bangku sekolah lagi mendorong saya memahami Islam dengan lebih mendalam. Saya sering mendengar dan tertarik dengan suara azan berkumandang serta bacaan ayat-ayat suci Al-Quran.

Tan Mike Foong

Tan Mike Foong berjaya merangkul tempat pertama dalam kategori Hafazan Al-Quran Lelaki.

“Guru-guru di Pertubuhan Pembangunan Orang Buta Malaysia yang banyak mendorong saya dalam usaha mempertingkatkan ilmu agama ialah faktor kejayaan saya pada hari ini,” jelas Mike.

Tambahnya, dia kini bertugas sebagai pelatih untuk mengajar mualaf di ‘Interactive Da’wah Training’ (IDT) Wangsa Maju yang diasaskan oleh Lim Jooi Soon atau lebih dikenali sebagai Bro Lim.

Ketika ditanya bagaimana kaedahnya menghafal al-Quran, Mike menjelaskan, “saya belajar melalui kaedah Al-Quran Braille dan memperuntukkan masa dua jam sehari untuk membaca Al-Quran. Secara teknikalnya, saya akan mendengar dan kemudian akan menyebut semula ayat al-Quran berkali-kali sehingga dapat menghafalnya.”

Ustaz Murad Ahmat bersama kontinjen Mahrajan Amal Islami Saudara Kita Melaka 2

Ustaz Murad Ahmat bersama kontinjen Mahrajan Amal Islami Saudara Kita Melaka.

Menurut pegawai pengiring kontinjen Melaka, Imam 1 Masjid Cina Melaka, Ustaz Murad Ahmat, 35, pencapaian peserta tahun ini amat membanggakan kerana berjaya menjadi johan kategori Hafazan al-Quran lelaki melalui Tan Mike Foong, dan mendapat tempat ketiga dalam kategori Syarahan Wanita dan Tilawah al-Quran Wanita masing-masing oleh Miesha Alisha Soffea Abdullah, 23, dan Nur Natasha Alisha Mohan, 17, yang merupakan pasangan adik-beradik.

Majlis penyampaian hadiah Pertandingan Mahrajan Amal Islami Saudara Kita Peringkat Kebangsaan 2017 yang menutup tirainya di Kuching, Sarawak semalam disempurnakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Tan Sri Datuk Othman Mustapha.

Miesha (kira) dan Natasha (kanan) dua beradik yang berjaya mendapat tempat ketiga dalam kategori Syarahan Wanita dan Tilawah Al-Quran Wanita bersama adik mereka, Muhammad Sya’ban A.M.Mohan, 15, yang menerima sagu hati dalam kategori Tilawah Al-Quran Lelaki.

Miesha (kira) dan Natasha (kanan) dua beradik yang berjaya mendapat tempat ketiga dalam kategori Syarahan Wanita dan Tilawah Al-Quran Wanita bersama adik mereka, Muhammad Sya’ban A.M.Mohan, 15, yang menerima sagu hati dalam kategori Tilawah Al-Quran Lelaki.

Johan pertandingan membawa pulang plak, wang tunai RM1,000 berserta sijil, tempat kedua plak, wang tunai RM800 dan sijil manakala tempat ketiga membawa pulang plak, wang tunai RM600 dan sijil. Peserta yang tidak berjaya turut menerima sagu hati RM200 dan sijil.
-DZ

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda