Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeSelangor

Ziarah Kasih Yayasan Tabung Haji Bantu Golongan Memerlukan

By 30 Mei 2017Jun 1st, 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

Laporan / foto oleh Mohamad Zairin Mohamad Zin & Siti Rasidah Abdul Musa (Shah Alam)

SHAH ALAM, 30 Mei (Malaysiaaktif) – Seorang ibu tunggal yang mempunyai lima orang anak yang masih bersekolah dengan yang sulung kini sedang melanjutkan pelajaran di Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang dan yang lain di sekolah rendah dan menengah hari ini mengukir senyuman lega apabila menerima bantuan dari Yayasan Tabung Haji hari ini.

Noraidah Wahab, 44, merupakan antara 1,500 penerima bantuan sempena Program Ziarah Kasih Ramadan Al-Mubarak 2017 bertempat di Masjid Jamek Raja Tun Uda, di sini, hari ini.

“Saya berasa gembira dan bersyukur mendapat bantuan ini dan dapat meringankan beban saya sekeluarga pada bulan Ramadan ini. Selain itu, bantuan ini sedikit sebanyak dapat memberikan sinar kepada saya yang merupakan ibu tunggal.

Noraidah Wahab, 44

Noraidah Wahab

“Bantuan seperti ini perlu diteruskan untuk membantu golongan yang berpendapatan rendah seperti kami ini,” ujarnya yang turut menerima bantuan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Noraidah yang kematian suami setahun yang lalu akibat serangan jantung kini tinggal di kawasan perumahan di Padang Jawa namun, Malaysiaaktif difahamkan pemilik tanah akan mengambil tanah itu semula pada tahun depan.

Manakala, seorang penerima yang lain, Masinah Wariman, 64, seorang warga emas yang mengalami sakit lutut dan pernah menjalani pembedahan dengan memasukkan skru pada tulang belakangnya untuk membolehkannya bergerak, mengucapkan syukur atas sumbangan daripada Tabung Haji ini.

Masinah Wariman, 64

Masinah Wariman

“Alhamdulillah dan syukur serta berterima kasih atas sumbangan daripada tabung haji ini dapat mengurangkan sedikit beban menjelang hari raya ini. Untuk orang seperti kami ini yang tiada daya, nak cari rezeki lain susah, dan duit api air pun mengharap anak bagi sebab tiada pencen dan sebagainya,” katanya penuh terharu.

Menurut Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, program Ziarah Kasih akan bergerak ke 50 kawasan Parlimen di seluruh negara dan program di Shah Alam ini merupakan destinasi keempat mereka pada tahun ini selepas Kuala Langat, Kuala Selangor dan Gombak.

Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim

Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim

“Kita sudah pergi ke tiga tempat sebelum ini dan lebih kurang 1,500 orang penerima pada hari ini di sini. 750 orang merupakan golongan asnaf dan 750 orang lagi adalah golongan yang tidak berkemampuan.

“Kita sudah ada senarai dalam Tabung Haji yang mana mereka ini telah dikategorikan di bawah golongan asnaf, warga tua dan lain-lain cuma fokus kami adalah pada golongan asnaf ini.

Antara penerima bantuan Ziarah Kasih Ramadan Al-Mubarak 2017

Antara penerima bantuan Ziarah Kasih Ramadan Al-Mubarak 2017

“750 orang yang diberi sumbangan ini merupakan golongan warga tua dan juga golongan tidak berkemampuan contohnya individu ini bekerja dan gaji di bawah RM2,000 tetapi mempunyai anak lima dan isteri tidak bekerja serta masih menyewa rumah dan sebagainya dan ini kami pertimbangkan untuk menerima sumbangan,” jelasnya kepada media selepas majlis perasmian program tersebut.

 

-DZ

Tinggalkan komen anda