
Laporan: Mat Fazly Mat Kasim / Foto: Diana Francesca Rowana (Sabah)
KOTA KINABALU, 16 Jun (Malaysiaktif) – “Keinginan menubuhkan aktivis ini juga adalah atas rasa terhutang budi seekor anjing yang menyalak seolah-olah membangunkan saya sekeluarga daripada hampir rentung dalam kebakaran yang mampu meragut nyawa kami semua.
“Atas rasa terima kasih tersebut saya tekad menubuhkan aktivis ini yang berdaftar secara sah di ROS Sabah pada 2014 bertujuan memberi pembelaan kepada haiwan jalanan tersebut seperti anjing dan kucing.
Demikian kata Pengasas ‘Animal Lover Independent Resquer’ (ALIR) Sabah, Diana Francesca Rowana yang mesra dengan panggilan Dee Dee Chan ketika ditemu bual Malaysiaaktif baru-baru ini.
Tambahnya, penubuhan aktivis sosial ini adalah atas rasa tanggungjawab dan kasih kepada haiwan jalanan yang terabai seperti anjing dan kucing yang sering berkeliaran tanpa bertuan di pusat-pusat bandar termasuk di perkampungan.
Katanya, aktivis tersebut kini mempunyai seramai 100 ahli berdaftar manakala ahli sukarela yang tidak ingin terikat dengan pergerakan dan lebih selesa memberi khidmat secara sukarela adalah ramai dan meliputi seluruh daerah di negeri ini.
Menceritakan pengalaman bergelar aktivis sosial penyelamat bebas pencinta haiwan ini Dee Dee Chan berkata terlalu banyak yang tidak mampu dikongsi kerana lebih banyak pahit daripada manis sepanjang bergelar penyelamat ini.
“Pengalaman pahit manis terlalu sukar diluahkan sepanjang bergiat sebagai aktivis ini. Pengalaman sukar adalah dari segi perolehan dana menggerakkan pertubuhan ini. Pada permulaan operasi, saya hanya bergantung sepenuhnya kepada dana sendiri bagi menyediakan tempat tinggal, makan dan minum termasuk rawatan.
“Hampir setahun operasi, saya mula merasa putus asa kerana kekurangan dana dan pertubuhan hampir ditutup tetapi kami sekeluarga tetap teruskan sehingga terpaksa memunggut sisa makanan di restoran Kentucky Fried Chicken (KFC) untuk makanan haiwan jagaan kami.
Tambahnya, kesukaran ini turut dirasai oleh anak-anak saya sendiri yang terpaksa tidak hadir ke sekolah selama tempoh dua bulan berikutan ketiadaan kewangan berikutan menampung keperluan haiwan berkenaan.
“Waktu itu saya yang berkerja di Daerah Manggatal terpaksa berjauhan dengan keluarga di Kota Belud dan tinggal berseorangan bersama 14 penyelamat kucing yang lain terpaksa mengalas perut hanya dengan minum nestum setiap hari sebagai usaha berjimat.
Jelas Dee Dee Chan penuh emosi menceritakan detik derita penuh cabaran memulakan operasi aktivis penyelamat bebas pencinta haiwan tersebut.
Tekanan yang dihadapi jelasnya bukan setakat ketiadaan dana malah turut menyentuh sentimen salah anggap masyarakat terhadap konsep pertubuhan tersebut.
Dee Dee Chan menjelaskan, masyarakat amat tidak bersetuju dengan konsep pertubuhan iaitu ‘No Kill Shelter’, konsep yang tidak mengamalkan ambil dan hapus terutama terhadap haiwan yang tidak dapat dirawat.
“Walau apa pun keadaan kucing atau anjing tersebut, kami tidak akan ‘tidurkan” kerana kami percaya kita bukan tuhan yang mahu menentukan hidup atau mati haiwan tersebut.
“Kami akan berusaha memberi bantuan sepenuhnya kepada haiwan berkenaan agar kembali sihat dan jika tidak mampu kembali pulih kami tetap akan jaga hingga haiwan tersebut mati,” ujarnya.
Katanya lagi, pernah terjadi anjing dan kucing di pusat perlindungan kami ditembak dengan senapang guli dan diracun oleh pihak yang tidak berpuas hati dengan kewujudan pusat ini.
“Walaupun sering menerima cacian, kami tetap meneruskan operasi ini sehinggalah hari ini kami mampu berdiri sendiri hasil kerjasama dan semangat daripada para sukarelawan yang sentiasa membantu menjayakan misi ini,” ujarnya.
Menceritakan kos operasi yang ditanggung, Dee Dee Chan memaklumkan kos mengurus pusat penjagaan ini diperoleh melalui hasil jualan cenderahati secara kecil-kecilan, bayaran kos perkhidmatan rawatan selain kerja sambilannya sebagai jurufoto, pendandan anjing dan suami yang berkerja sebagai pemandu teksi.
“Selain itu, sumbangan dana turut diperoleh daripada rakan-rakan penyelamat serta orang ramai yang prihatin.
Peningkatan sosioekonomi kini tidak dinafikan turut dirasai pertubuhan. Peningkatan kos operasi terutama dari segi perubatan dan makanan menyebabkan pertubuhan ini terus mengharap ihsan bantuan masyarakat.
“Pusat jagaan kami amat memerlukan sumbangan ihsan masyarakat ketika ini kerana dianggarkan kos mencecah RM6,000 sebulan bagi menampung keperluan makan minum sebanyak 89 ekor anjing dan 39 ekor kucing, ini tidak termasuk kos rawatan, ubat-ubatan, pembedahan jika ada kes baharu.
Dee Dee Chan turut berkongsi beberapa kes pembuangan atau penderaan terhadap haiwan jalanan ini.
Jelasnya, terdapat beberapa kes yang sukar kami lupakan tentang seekor kucing yang kami namakan ‘December’ yang kakinya hangus hanya tinggal tulang dijumpai masyarakat di kawasan bukit Hilltop Kota Kinabalu.
“Kami terpaksa memotong sebelah kaki kucing terbabit. Kini December semakin sihat dan masih perlu menjalani pemeriksaan daripada doktor Veterinar bagi mengelakkan masalah obesiti.
Tambahnya, kes yang lebih menyayat hati walaupun telah berusaha tapi akhirnya haiwan tersebut tetap mati ialah kisah seekor kucing yang digelar Donut.
“Kes Donut ini jelas menunjukkan manusia lebih kejam daripada haiwan. Donut ditemui seorang penduduk prihatin di kawasan Universiti Apartment 1, Kota Kinabalu dengan keempat-empat kakinya diikat dengan getah sehingga saraf kakinya mati tidak berfungsi.
“Apabila kami menerima sahaja aduan terdapat seekor kucing bermasalah di kawasan terbabit kami terus bergerak dan mendapati keempat-empat kaki kucing terbabit perlu segera mendapat rawatan.
Ujarnya, hasil pemeriksaan keempat-empat kaki Donut terpaksa dipotong bagi mengelakkan jangkitan kuman, namun umur Donat tidak panjang apabila disahkan dijangkiti penyakit parasit dalam darah,” jelasnya.
Dee Dee Chan turut menyatakan ALIR Sabah juga bakal membuka sebuah kedai menjual pelbagai barangan haiwan di beberapa kawasan dan berharap agar masyarakat turut bersama membantu menyelamatkan haiwan jalanan ini.
Beliau turut berkata ALIR Sabah sentiasa bekerjasama dengan pelbagai pihak memberi kempen kesedaran agar masyarakat faham peranan mereka mengawal populasi haiwan jalanan kerana masyarakat juga ialah penyumbang kepada peningkatan haiwan jalanan ini.
ALIR Sabah juga bercadang untuk memiliki sebidang tanah bagi menampung jumlah anjing dan kucing yang semakin bertambah selain membaiki kemudahan dan kelengkapan di Pusat Perlindungan ini.
Dee Dee Chan turut menyuarakan kepada masyarakat yang prihatin dan ingin menghulurkan sumbangan sama ada berbentuk barang makanan, peralatan ataupun kewangan bolehlah melayari facebook ALIRSabah untuk mendapat maklumat lengkap penyaluran sumbangan tersebut.
Sementara itu, Ahli Pencinta Haiwan M.Fazly, 30, berkata dia mula terlibat dengan aktivis ini semasa diperkenalkan oleh seorang rakan yang menyatakan terdapat sebuah aktivis pencinta haiwan memerlukan bantuan tenaga sebagai penyelamat.
“Setelah menyertainya pada 2015, saya amat terharu dengan kegigihan Dee Dee Chan yang sanggup berusaha menyelamatkan haiwan berkenaan.
Jelasnya, sejak terlibat dalam aktivis ini lahir rasa kasih dan tanggungjawab terhadap haiwan dan apabila melihat banyaknya haiwan berkeliaran di tepian jalan timbul perasaan sedih terutama apabila haiwan terbabit terlibat dengan kemalangan jalan raya.
“Masyarakat dan penguatkuasaan perlu seiring agar kewujudan haiwan jalanan ini dapat dibendung. Konflik hidupan antara manusia dan haiwan hari ini menyebabkan haiwan jalanan ini semakin bertambah dan kadang kala ganas.
“Saya berharap generasi muda akan datang perlu diberi kesedaran terhadap konflik ini agar manusia dan haiwan dapat menjalani kehidupan ini bersama tanpa ada permusuhan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Timbalan Pengarah, Bahagian Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Perkhidmatan Haiwan dan Perusahaan Ternak, Dr.Nasip Eli berkata pada dasarnya jabatan menyokong penuh semua aktiviti yang melibatkan kebajikan haiwan seperti pertubuhan mencegah kekejaman haiwan “Society For The Prevention Of Cruelty To Animals (SPCA) Kota Kinabalu, Tawau dan International Aid For The Protection And WelFare Of Animals (IAPWA) Kota Kinabalu.
“Walau bagaimanapun, sokongan yang diberi tidak membawa kepada pemberian bantuan kewangan daripada jabatan kepada pertubuhan terbabit. Ini bererti pertubuhan tersebut akan berusaha mendapatkan dana sendiri.
Katanya lagi, jabatan kini sedang dalam proses akhir menyediakan ‘Code Of Practice (COP) bagi setiap aktiviti yang melibatkan haiwan, sebagaimana yang termaktub dalam ‘First Schedule Subsection 5.1. Enakmen Kebajikan Haiwan Negeri Sabah 2015.
“Walau bagaimanapun, jika terdapat unsur-unsur yang melibatkan penganiayaan terhadap haiwan pihak jabatan boleh mengambil tindakan seperti yang diperuntukkan dalam Bahagian V Enakmen tersebut.
“Sebaik sahaja COP ini siap, jabatan akan mendaftar atau melesenkan semua individu, syarikat, persatuan, institutsi, agensi dan pertubuhan yang melaksanakan aktiviti melibatkan haiwan.
“Setakat ini pihak jabatan tidak ada memberikan sebarang kebenaran untuk mana-mana pertubuhan beroperasi atau memperakui tempat operasi kerana perlesenan haiwan adalah di bawah bidangkuasa pihak berkuasa tempatan,” jelasnya ketika dihubungi Malaysiaaktif pada Rabu.
-SF