
Oleh: Mohd Faizal Mansor / Foto: Jeffrey Nian
LABUAN, 7 Jun (Malaysiaaktif) – “Kerajaan mengambil maklum tentang betapa pentingnya sektor pelancongan di Labuan dipromosi dan diperkembangkan agar menjadi salah satu penyumbang utama ekonomi Labuan selaras dengan aspirasi Pelan Pembangunan Labuan 2030.”
Demikian kata Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pelancongan Labuan Bil 2/2017 di salah sebuah hotel terkemuka, di sini, pada Isnin.
“Justeru itu, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) bersetuju untuk memberi insentif kewangan kepada ejen pelancongan berdaftar di seluruh Malaysia yang membawa masuk kumpulan pelancong asing ke Labuan berkuat kuasa mulai 1 Julai 2017,” jelasnya.
Tambahnya, menyedari perlunya langkah-langkah proaktif dalam membantu para pemain industri pelancongan untuk menarik lebih ramai pelancong ke Labuan, ini merupakan salah satu langkah kerajaan yang mampu menaikkan kehadiran pelancong ke pulau bebas cukai ini.“Insentif kewangan yang diberikan ialah RM30.00 bagi setiap pelancong asing tertakluk kepada beberapa syarat yang telah ditetapkan. Antaranya, ejen berkenaan hendaklah membawa sekurang-kurangnya 10 pelancong asing pada satu-satu masa.
“Pelancong-pelancong itu hendaklah bermalam sekurang-kurangnya satu malam di mana-mana hotel berdaftar di Labuan serta mereka juga harus menggunakan khidmat pemandu pelancong berlesen tempatan di Labuan,” ujarnya lagi.
Menurut seorang ejen pelancongan di Labuan, Kok Yuen Keat, 42, dia menyokong penuh insentif kepada pemain-pemain industri pelancongan yang bertindak sebagai ejen-ejen pelancongan yang mampu memberi suntikan semangat dan berusaha bagi memajukan industri pelancongan di pulau ini.“Sesunguhnya Pulau Labuan juga amat berpotensi menjadi salah satu destinasi pelancongan khususnya buat para pelancong dari negara China dan Taiwan kerana bentuk muka buminya yang cantik dan merupakan pulau dengan pemandangan indah yang mampu menarik minat pelancong dari kedua-dua buah negara tersebut,” katanya.
Selain itu, Yuen Keat turut memberikan cadangan kepada kerajaan serta pelabur-pelabur industri pelancongan di Labuan agar dapat membina lebih banyak lagi hotel-hotel di persisiran pantai di Pulau Labuan.
“Ini kerana ia mampu menarik minat pelancong dari Taiwan dan China yang amat gemar menginap di hotel-hotel yang terletak di persisiran pantai,” ujarnya yang merupakan Pengurus Besar Mawada Travel and Tours.Dalam pada itu, Penolong Pengarah (Promosi dan Acara) Jabatan Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Perbadanan Labuan, Zunaidah Hamzah, 40, berkata insentif tersebut diharap dapat menarik lebih ramai lagi para pelancong dari luar negara untuk datang ke Pulau Labuan khususnya secara berkumpulan.
“Diharapkan dengan dana permulaan sebanyak RM200,000 oleh KWP bagi insentif tersebut dapat dimanfaatkan oleh ejen-ejen pelancongan di Labuan ini seterusnya memajukan industri pelancongan dan perhotelan di negeri ini,” katanya penuh harapan.
-DZ