Skip to main content
Berita TempatanPahang

Konvoi Ramadan 50 Kenderaan 4×4 Jelajah 17 Kampung

By 13 Jun 2017Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan / Foto oleh Muhammad Fitri Halim Abdullah (Bera)

BERA, 13 Jun (Malaysiaaktif) – Sebanyak 17 buah kampung di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Guai di sini menjadi lokasi persinggahan konvoi 50 buah kenderaan pacuan empat roda (4×4) semalam.

Persinggahan di setiap lokasi itu bertujuan bagi menyalurkan bantuan kepada golongan yang kurang berkemampuan di bawah Program Jelajah Kembara Ramadan DUN Guai 2017.

Antara penerima, Ahmad Junid, 63, dari Kampung Bohor Bahru, berasa amat bersyukur atas bantuan yang berupa bekalan makanan dan duit raya.

“Sumbangan ini dinantikan setiap kali Ramadan dan yang paling gembira golongan kurang berkemampuan kerana tersentuh apabila mendapati ada yang sudi membantu mereka,” katanya.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-tugas Khas Pahang, Datuk Norol Azali Sulaiman yang juga peserta konvoi berkata Kembara Ramadan ini aktiviti tahunan sempena Ramadan yang menyaksikan usaha sukarela sejajar dengan tanggungjawab dan tuntutan ibadah.

Kembara Ramadan yang berlangsung pada Isnin

Kembara Ramadan yang berlangsung pada Isnin

Menurut beliau ini kali kesembilan program tersebut diadakan dan setiap tahun semakin ramai sukarelawan mengambil bahagian.

“Mana-mana pihak dan individu boleh mengambil bahagian untuk sama-sama membantu insan yang memerlukan,” kata Norol kepada media.

Seorang lagi penerima sumbangan, Akram Mat Asri pula berkata, “Kami yang terdiri daripada warga yang sangat memerlukan, terutama yang terlantar sakit dan warga emas, menyambut baik usaha ini kerana dapat meringankan beban keluarga dalam membuat persiapan Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.”

Sementara itu, bagi peserta kali pertama Badrol Hisham Abdul Rahim, pengalaman menyertai konvoi kebajikan ini menggembirakan kerana beliau dapat bertemu dengan masyarakat luar bandar.

“Antara cabaran yang dihadapi termasuk keadaan cuaca panas dan perjalanan jauh melewati laluan sempit dan berbukit untuk sampai dari sebuah kampung ke sebuah kampung. Semua ini amat menguji ketahanan mental dan fizikal,” jelas beliau.

“Namun demikian, ia tidak mematahkan semangat semua peserta untuk meneruskan misi bagi manfaat kumpulan sasaran.”

Beliau berhasrat untuk menyertai program ini sekali lagi pada tahun hadapan.

Program tersebut dianjurkan oleh Pusat Khidmat ADUN Kawasan Guai bersama Agensi Kerajaan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO).

-SF/AAS

Tinggalkan komen anda