Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala LumpurViralWilayah Persekutuan

Malaysia Capai Negara Menua Menjelang 2030

By 6 Jun 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto oleh: Anwar Aizuddin Abdul Wahab & Noraznaliza Asri (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 6 Jun (Malaysiaaktif) – Kajian oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendapati Malaysia akan mencapai status ‘negara menua’ atau ‘ageing nation’ pada tahun 2030 dengan lebih 15 peratus warganegara berumur 60 tahun ke atas (berdasarkan takrifan Dasar Warga Emas Negara).

Menurut Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Tun Abdul Razak, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP memainkan peranan penting dalam memberi jaminan kewangan kepada kumpulan kakitangan sektor awam yang telah berpencen.

“Peningkatan kos kesihatan awam berlipat kali ganda, penyusutan produktiviti dan pengeluaran negara akan membawa kepada masalah ekonomi dan sosial yang kritikal merupakan cabaran yang akan dihadapi oleh negara menua,” ucap Najib pada Majlis Sambutan Ulang Tahun KWAP dan Perasmian Pejabat Utama KWAP, di sini semalam.

Katanya, kerjasama KWAP dengan Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia dalam melaksanakan kajian berkaitan persaraan dan penuaan dalam negara menunjukkan komitmen tinggi KWAP untuk meningkatkan mutu perkhidmatan kepada para pesara dan membantu kerajaan bagi menambah baik polisi-polisi berkaitan persaraan.

“Dana KWAP juga membantu Kerajaan membiayai projek-projek rakyat seperti rumah mampu milik yang dibina oleh Skim Perumahan Nasional Berhad (SPNB), projek insfrastruktur Kerajaan seperti kuarters Kerajaan, hospital, sekolah, pusat sukan dan lain-lain yang diterajui oleh pembinaan ‘private finance initiative’ atau PFI,” katanya.

Tambahnya, selama satu dekad ditubuhkan, KWAP telah mengembangkan saiz dana daripada 42 bilion ringgit pada 2007 kepada 125 bilion ringgit pada Disember 2016.

“Dari 125 bilion ringgit, 53.6 bilion ringgit adalah hasil penjanaan pendapatan pelaburan yang akan digunakan untuk membiayai liabiliti pencen dan ini merupakan satu sumbangan KWAP kepada negara dan para pesara,” katanya.

Jelas Najib, dia percaya KWAP yang telah genap 10 tahun usianya akan terus melakar prestasi cemerlang sebagai organisasi berprestasi tinggi.

“Saya difahamkan KWAP yakin dengan pertumbuhan antara 8.0 -10.0 peratus setahun, dana KWAP akan berjaya mencapai angka 500 bilion ringgit pada tahun 2050,” katanya lagi.

Tayangan Video Aplikasi Telefon Mudah Alih, MYPESARA

Tayangan Video Aplikasi Telefon Mudah Alih, MYPESARA

Pada majlis yang sama, aplikasi mudah alih yang direka khusus untuk pesara iaitu MyPesara yang boleh dimuat turun ke telefon pintar bermula Julai tahun ini turut dilancarkan.

Turut hadir, Pengerusi KWAP, Tan Sri Dr. Mohd Irwan Siregar dan Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad.

– AH

Tinggalkan komen anda