Skip to main content
Berita TempatanSabah

Sayu Raya Tanpa Ayah, Ibu

By 15 Jun 2017Tiada komen3 minit bacaan

 

Laporan: Asmidar Zainol / Foto: Taulani Hamzah (Sabah)

KOTA KINABALU, 14 Jun (Malaysiaktif) – Perasaan sayu dan sedih tidak dapat dibendung menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelma nanti.

Bagi Siti Nor Ain Aiman, 14, dan adiknya, Mohammad Adam Ashraf Aiman, 5, sambutan perayaan tahun ini tidak lagi sama seperti tahun-tahun sebelumnya.

“Jika tahun lepas kami beraya dengan ibu, pada tahun ini semuanya menjadi kenangan setelah ibu meninggal dunia akibat barah payudara pada Oktober tahun lepas menyusuli ayah yang telah lama meninggalkan kami,” ujarnya sebak.

Siti Nor Ain diletakkan di bawah jagaan Rumah Amal apabila kesihatan ibunya merosot empat tahun lalu dan sering membawa adiknya untuk tinggal di rumah berkenaan sejak tiga tahun lalu. Walau bagaimanapun, setelah kematian ibunya, Mohammad Adam Ashraf tinggal secara tetap di situ pada tahun lepas.

Ketika ditanya tentang pengalaman berpuasa tahun ini, walaupun sedih, dia gembira kerana dapat bersama adiknya dan rakan-rakan menjalani ibadah puasa.

“Alhamdulillah, kami dapat berpeluang berbuka puasa di hotel dan turut mendapat duit raya untuk perbelanjaan harian nanti,” katanya penuh ceria.

Ketika ditanya perkara yang paling dirindui semasa Hari Raya nanti, gadis kecil ini tiba-tiba bertukar menjadi diam dan hanya air mata yang berguguran sebagai jawapannya.

Sebahagian daripada anak-anak yatim dan asnaf yang hadir di majlis berbuka puasa pada Selasa.

Sebahagian daripada anak-anak yatim dan asnaf yang hadir di majlis berbuka puasa pada Selasa.

Sementara itu, Pengasas Rumah Amal Kasih, Nooraishah Ayub turut sama mengalirkan air mata di sebelah Siti Nor Ain.

“Sayu apabila melihat dugaan mereka ini, tetapi insya-Allah saya akan memberikan yang terbaik dan akan menjaga kebajikan mereka.

“Sehingga kini, seramai 25 anak yatim dan asnaf tinggal di Rumah Amal Kasih. Dua buah rumah telah disewa untuk menempatkan anak-anak lelaki dan satu lagi kepada anak-anak perempuan,” jelasnya.

Nooraishah memaklumkan, rumah berkenaan memerlukan perbelanjaan sebanyak RM10,000 sebulan bagi menampung perbelanjaan sekolah dan harian mereka.

“Bagi menampung perbelanjaan harian anak-anak ini, kami mengusahakan perkhidmatan katering dan menjual nasi lemak selain menerima sumbangan daripada masyarakat.

“Bagi tujuan keselesaan anak-anak ini, pada masa hadapan dicadangkan untuk membina rumah yang lebih besar dan lebih ramai anak-anak kurang bernasib baik dapat dibela,” katanya kepada media selepas majlis Berbuka Puasa anjuran Borneo Highway PDP Sdn Bhd (BHP) pada Selasa.

Rosnah (tiga dari kiri) bersama-sama Shahelmey (tiga dari kanan) dan Amrullah (kiri) menyampaikan duit raya kepada anak-anak yatim dan asnaf.

Rosnah (tiga dari kiri) bersama-sama Shahelmey (tiga dari kanan) dan Amrullah (kiri) menyampaikan duit raya kepada anak-anak yatim dan asnaf.

Dalam pada itu, bagi penghuni Rumah Anak Yatim dan Asnaf As Sakinah, Papar, Muhammad Alif Baduha, 15, dia tidak sabar untuk pulang ke kampungnya di Merontai Besar, Tawau.

“Pastinya saya tidak sabar untuk pulang berhari raya bersama ibu dan keluarga di Tawau kerana selepas ini saya perlu menumpu perhatian kepada peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) hujung tahun nanti.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Rumah Anak Yatim dan Asnaf As Sakinah kerana banyak membantu menyediakan kemudahan kepada saya dan rakan-rakan belajar.

“Kemudahan di rumah lengkap berbanding sekiranya saya tinggal di kampung dan saya amat bersyukur dengan rezeki ini,” ujarnya gembira.

Bagi persiapan menyambut lebaran, pihak Rumah Anak Yatim dan Asnaf As Sakinah telah menyediakan dua pasang baju raya kepada Muhammad Alif dan rakan-rakan.

Terdahulu, BHP turut menyumbangkan duit raya kepada 70 anak-anak yatim dan asnaf dari tiga buah rumah kebajikan dan perlindungan termasuk HOME for Orphans Managed by Excellents (Rumah Anak Yatim Tuaran) selain sumbangan RM3000 kepada rumah-rumah berkenaan.

-SF

Tinggalkan komen anda