Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

96 Pelajar Terima Bantuan Yayasan Sarawak

By 20 Julai 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan/Foto : Mohd Baharruddin Mohamad / Matsukarmi (Sarawak)

MUKAH, 20 Jul (Malaysiaaktif) – Seramai 96 orang murid sekolah dari 12 buah sekolah di sekitar Balingian menerima Baucar Bantuan Pakaian Seragam Yayasan Sarawak yang bernilai RM200 seorang dengan jumlah keseluruhan bernilai RM19,200.00.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Hj Arbi menjelaskan kerajaan negeri amat mengambil berat soal kebajikan anak-anak terutamanya pelajar sekolah.

“Kita tidak mahu mendengar atau melihat anak-anak kita tidak dapat meneruskan persekolahan hanya kerana tidak mempunyai wang untuk membeli pakaian sekolah atau tidak ada wang untuk membeli buku serta peralatan persekolahan,” ujarnya.

Abdul Yakub turut memuji peranan yang dimainkan oleh Yayasan Sarawak yang menjadi satu-satunya agensi di bawah Kerajaan Negeri yang berperanan dalam membantu memperkasakan pembangunan pendidikan di Sarawak sejak ditubuhkan pada tahun 1971.

“Dalam konteks pembangunan pendidikan, adalah tidak memadai jika peranan dan tanggungjawab untuk membangunkan modal insan diletakkan di atas bahu para guru dan sekolah semata-mata,” katanya semasa berucap dalam majlis Penyerahan Bantuan Baucar Pakaian Seragam Yayasan Sarawak di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Parish, Balingian siang tadi.

Abdul Yakub menegaskan kepada ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang mempunyai kemahiran agar mencuba dan mengenal pasti bakat mereka agar dapat dicungkil dan dikembangkan.

“Di Sarawak sendiri telah ditubuhkan banyak institusi latihan kemahiran yang menyediakan pelbagai bentuk latihan kemahiran kepada anak-anak kita.

“Salah satunya adalah CENTEXS ataupun Centre For Technical Excellent Sarawak. Pelbagai latihan disediakan misalnya kimpalan, latihan berasaskan industri petroleum dan sebagainya.

“Anak-anak merupakan masa depan kita, dan mereka inilah yang akan menjadi pewaris bagi meneruskan setiap usaha dan perjuangan yang dilakukan oleh kita pada hari ini,” jelasnya lagi.

Turut hadir Pegawai Daerah Mukah, Shafrie Saili, dan Penolong Pengarah (Pendidikan Tinggi) Yayasan Sarawak, Abdullah Abdul Gapor.

-SH
Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda