Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala LumpurWilayah Persekutuan

Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Wilayah Persekutuan Rai Warga Kota

By 20 Julai 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan Foto oleh: Ahmad Suhaimi Mokhtar & Inthran Krishnan (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 20 Julai (Malaysiaaktif) – 3,000 kanak-kanak dan gelandangan hari ini menerima sumbangan duit raya daripada Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Wilayah Persekutuan, di sini.

Berkonsepkan mesra rakyat, majlis ini dianjurkan khusus untuk warga kota dari pelbagai lapisan masyarakat.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, dalam ucapannya berkata jalinan kolaborasi antara pihak kerajaan, badan bukan Kerajaan (NGO) dan syarikat-syarikat swasta dalam menjayakan program ini dapat mengurangkan kos penganjuran program.

“Perkongsian dari segi bajet makanan dan minum ini secara tidak langsung dapat mempelbagaikan juadah Aidilfitri, seterusnya dapat berkongsi rezeki dengan rakyat jelata.

“Konsep ‘smart partnership’ bersama badan korporat dan NGO ini merupakan salah satu inisiatif ‘Corporate Social Responsibility’ (CSR) mereka bagi program-program bersama komuniti yang dapat meningkatkan reputasi dan nama baik organisasi tersebut,” katanya.

Tengku Adnan menyampaikan duit raya kepada gelandangan.

Tengku Adnan menyampaikan duit raya kepada gelandangan.

Menurut Tengku Adnan, konsep Rumah Terbuka Aidilfitri ini dapat mengerat silaturrahim serta ‘engagement’ pihak kerajaan dengan warga kota Kuala Lumpur dan secara tidak langsung dapat mendekatkan pemimpin dengan rakyat dalam konsep santai.

“Selain itu, penerapan nilai kasih sayang dapat dibina dan dipupuk bagi melambangkan warga masyarakat Wilayah Persekutuan yang harmoni, prihatin, maju dan sejahtera. Semangat muhibbah antara masyarakat dan perkongsian mesra rakyat dengan pemimpin dan rakyat dapat diwujudkan,” katanya lagi.

Jelas Tengku Adnan, penganjuran Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ini telah dianjurkan sejak tahun 2010 lagi.

“Kementerian Wilayah telah mengambil pendekatan untuk menganjurkan majlis ini setiap tahun serta membuat penambahbaikan secara berterusan khususnya dalam aspek pengisian program bagi memastikan ia memberi manfaat kepada kumpulan sasar dan seterusnya warga Wilayah Persekutuan,” katanya.

Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyampaikan ucapan perasmian Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Wilayah Persekutuan.

Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyampaikan ucapan perasmian pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Wilayah Persekutuan.

Antara organisasi yang turut serta pada majlis kali ini ialah Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), Aset Kayamas Sdn Bhd, Berjaya Corporation Berhad, Amona Group of Companies, JL99 Group, SkyWorld Development Sdn Bhd, CRSC Holdings Berhad, UDA Holdings Berhad dan Danau Lumayan Sdn Bhd.

Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa, Tan Sri Datuk Seri Utama Zulhasnan Rafique; Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Datuk Seri Abdul Halim Abd. Samad dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abd. Aziz.

– AH

Tinggalkan komen anda