
Laporan & Foto: Fauzrina Bulka (Sabah)
TUARAN, 19 Jul (Malaysiaktif) – “Pada pendapat saya, tak perlulah kita berkompromi untuk melonggarkan bahasa Melayu sebagai syarat wajib untuk mendapatkan sesuatu jawatan dan bahasa Melayu ialah sesuatu yang kita perlu pertahankan.
Pendapat yang tegas itu dinyatakan oleh pelatih Institut Perguruan Guru (IPG), Kampus Kent Nurul Amira Shakira Amran, 18 yang mengambil jurusan Bahasa Melayu, kelmarin.

Amira (bertudung ungu) bersama pelatih-pelatih IPG yang berperanan memberi kesedaran kepada generasi muda agar sayang akan bahasa ibunda.
“Sebagai warganegara Malaysia, siapa lagi yang kita ingin harapkan untuk memartabatkan bahasa Melayu kalau bukan diri kita sendiri kerana inilah warisan yang menjadi tanggungjawab untuk kita jaga demi generasi masa depan,” ujarnya.
Amira memberi respons dengan kenyataan yang dibuat oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkenaan kelonggaran kepada syarat lulus mata pelajaran Bahasa Melayu (BM) peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diberikan kepada graduan perubatan untuk dilantik secara kontrak.
“Jika dilihat remaja sekarang ramai yang lebih gemar menggunakan bahasa asing untuk berbual dan menganggap bahasa Melayu ini bahasa kampung.
“Inilah juga peranan dan tanggungjawab yang saya perlu pikul jika menjadi guru suatu hari nanti untuk memberi kesedaran kepada generasi muda agar sayang dengan bahasa ibunda sekali gus memahami sejarah negara kita,” jelasnya.
Amira ditemui selepas Program Pidato Negaraku Peringkat Negeri Sabah 2017 anjuran Jabatan Penerangan (JaPen) Sabah yang berlangsung di IPG, di sini pada Sabtu.
Juara pertandingan pidato, Fatin Daratul Ain Sari @ Asri, 23 yang mewakili Pantai Barat Utara juga bakal seorang guru yang berada dalam semester akhir di IPG Kampus Keningau dalam jurusan Agama Islam.
Menurut Fatin, dalam pembentukan akhlak peribadi seseorang individu itu, jika dia mempunyai semangat kerohanian yang tinggi pasti akan mempunyai akhlak yang baik.
“Jika secara spiritual remaja itu sendiri sudah kukuh secara tidak langsung akan menjadi seorang warganegara yang baik sekali gus mempunyai jati diri sayang akan bangsa dan negara,” katanya.
Menurutnya, seorang warganegara yang baik tidak akan memperlekehkan bahasa kebangsaan walaupun mahir dalam pelbagai bahasa lain seperi bahasa Inggeris ataupun Mandarin.
“Sayang akan bahasa sama seperti sayang akan negara, sangat penting bagi masyarakat sekarang untuk mengukuhkan jati diri seterusnya menjadi generasi yang mampu menjaga negara,” jelasnya.
Fatin yang banyak mendapat bantuan daripada keluarganya berharap untuk melakukan sebaiknya pada peringkat kebangsaan nanti.
“Mungkin akan ada penambahbaikan dari segi teks dan penyampaian saya nanti manakala dari segi penampilan pula saya akan serahkan kepada ibu kerana ibu yang bantu untuk jahitkan baju saya,” jawabnya yang mengenakan pakaian tradisional dalam pertandingan tersebut.
Dalam pada itu, seorang guru sejarah, Waideh Laumin, 46, yang bertugas di SK. Kinasaraban, Ranau turut menegaskan perlunya generasi muda untuk lebih menghayati pengorbanan pejuang-pejuang yang telah mempertahankan negara.

Waideh menegaskan betapa perlunya generasi muda untuk menghayati pengorbanan pejuang-pejuang negara.
“Menyentuh tentang generasi muda kini, mereka sangat perlu didedahkan sejarah yang sebenar sama ada daripada kemerdekaan, atau ekonomi, perpaduan dan juga dari aspek sosialnya.
“Segelintir daripada mereka seakan-akan alpa, dengan kemewahan dan kejayaan hasil pengorbanan pejuang-pejuang terdahulu yang membawa kepada kemajuan pada hari ini,”ujarnya.
Pendapatnya, mereka perlu dilibatkan dengan pelbagai aktiviti berkaitan dengan sejarah, seperti hari kemerdekaan mahupun kuiz kenegaraan seperti yang sering dilakukan oleh JaPen supaya mereka tahu betapa mahalnya sebuah kemerdekaan.
“Kesedaran yang bermula dari rumah juga, saya sering melibatkan anak-anak dengan membawa mereka bersama-sama memasang bendera di rumah dan juga kenderaan pada bulan kemerdekaan,” katanya.
Manakala di sekolah pula, beberapa aktiviti turut diatur saban tahun untuk melibatkan murid-murid dengan pemasangan bendera, pertandingan mewarna dan melukis bendera, pertandingan koir kemerdekaan dengan lagu patriotik juga tidak diabaikan sebagai pengisian.
“Di peringkat daerah juga sering dilakukan acara perbarisan dan juga deklamasi sajak yang melibatkan masyarakat setempat yang pada saya membawa satu nilai atau memupuk sikap yang baik dikalangan generasi muda untuk sama-sama menghargai nilai sebuah kemerdekaan,” jelasnya.
Harapannya agar anak muda dapat menghayati dan renungi dan hargai pengorbanan pejuang-pejuang dan pemimpin-pemimpin kemerdekaan kerana tanpa mereka semua kita tidak akan mengecapi apa-apa yang ada pada hari ini.
–SF