Skip to main content
Berita TempatanSabah

Gua Laing Destinasi Pelancongan Baharu Keningau

By 14 Julai 2017Tiada komen5 minit bacaan

Laporan: Mohd Mahathir / Foto: Team KBK  (Sabah)

KENINGAU, 14 Jul (Malaysiaktif) – Ekspedisi Kelab Belia Keningau (KBK) ke Gua Laing menjadi suatu lagi aktiviti yang mampu menarik lebih ramai pelancong ke daerah tersebut pada masa akan datang.

Ketua Ekspedisi, Rafie Robert, 30, berkata seramai 40 ahli terlibat bersama melakukan aktiviti merentas hutan menuju ke Gua Laing terbabit pada Sabtu lalu.

Rafie menunjukkan pintu masuk ke Gua Laing.

Rafie menunjukkan pintu masuk ke Gua Laing.

“Ekspedisi ini bertujuan untuk mempromosikan gua ini sebagai tempat pelancongan baharu selain dapat memberi pengalaman mengembara kepada orang ramai yang ingin merasai sendiri suasana hutan sepanjang laluan tersebut.

“Kami berharap tempat ini akan dijadikan satu lagi program dalam kalendar ‘Visit keningau 2018’ nanti”, ujarnya.

Rafie turut berkongsi pengalaman sepanjang pengembaraan menuju ke gua tersebut yang terletak di Ulu Kampung Bipasu, Bingkor yang memakan masa 30 minit perjalanan dari pekan Keningau.

Tambahnya, setelah tiba di kampung Bipasu, pendaki perlu menggunakan kenderaan pacuan empat roda memandangkan permukaan jalan yang berbukit-bukau untuk menuju ke laluan gua berkenaan yang akan mengambil masa selama 40 minit perjalanan ke gua tersebut.

“Terdapat tiga laluan pintu masuk ke gua terbabit dan setiap pintu akan memberikan cabaran tersendiri serta keunikan kepada pengembara yang melaluinya.

Harapannya, semoga pihak kerajaan dapat mewartakan kawasan terbabit sebagai suatu kawasan pelancongan baharu di daerah berkenaan kerana lokasi terbabit berpotensi menjadi lokasi pelancongan baharu jika dimajukan serta mewujudkan pusat informasi sebagai maklumat tambahan kepada orang ramai yang ingin mengetahui lanjut tentang gua berkenaan.

Mengikut legenda yang diceritakan penduduk setempat gua berkenaan telah lama wujud dan dibina oleh dewi kayangan yang ditemui seorang penduduk tempatan lelaki dusun bernama laing.

Dewi tersebut tersebut dikatakan telah membina rumah (gua) tersebut sebagai tempat golongan manusia berubat untul lebih cantik dengan syarat pemuda Si Laing perlu kembali ke gua tersebut pada akhir setiap hujung minggu (hari ketujuh).

Malangnya, pemuda terbabit dikatakan tidak sabar dan datang sehari lebih awal menyebabkan dewi berkenaan marah dan meruntuhkan sebahagian daripada rumah (gua) terbabit dan rentetan daripada mitos ini gua berkenaan dikenali sebagai Gua Laing.

Sementara itu, penggemar aktiviti mendaki berpengalaman, Boneventure Harry, 28, berpeluang merasai sendiri pengalaman dan juga cabaran ekspidisi ke Gua Laing tersebut.

Boneventure Harry menunjukkan beberapa contengan yang terdapat di dinding gua terbabit.

Boneventure Harry menunjukkan beberapa contengan yang terdapat di dinding gua terbabit.

Katanya, laluan ke gua tersebut memang mencabar dengan permukaan berbatu licin sudah tentunya menguji kemahiran dan juga kesabaran para pengembara.

“Selepas melalui pelbagai cabaran yang agak memenatkan akhirnya perasaan puas dan terpegun apabila disambut dengan ketenangan apabila melihat panorama indah lemparan hutan yang menghijau terbentang luas saujana mata memandang.

Jelasnya, melihat kepada perjalanan yang dilalui terdapat pihak yang tahu kewujudan gua ini berdasarkan kerosakan yang berlaku di dalam gua terbabit.

“Cuma laluan ke gua terbabit yang masih tidak diketahui umum disebabkan berkeadaan hutan tebal dan sudah tentunya masih banyak lagi jalan yang boleh diteroka untuk menuju ke Gua tersebut.

“Pengembaraan ke gua ini adalah sesuai untuk semua peringkat umur dan bagi mereka yang berumur tiga belas tahun ke bawah perlu ada bimbangan dan panduan terutama dalam kalangan orang dewasa yang berpengalaman.

“Saya pasti akan kembali ke gua ini sebagai tanda sokongan dan aktiviti pemuliharaan akibat perbuatan pihak tidak bertanggungjawab yang merosakkan keindahan ini terutama dinding-dinding gua yang diconteng,” tambahnya lagi.

Dalam pads itu, Ahli KBK, Mohamad Nazri Bachu, 19, berkata pengalaman yang dirasai ini merupakan suatu yang berbeza jika dibandingkan dengan lain.

“Apa tidaknya, saya terpaksa bekerja lebih keras dan perlu lebih yakin dan bersemangat untuk berhadapan dengan setiap cabaran yang dilalui berikutan terpaksa menampung berat badan 105kg ke Gua Laing.

“Alhamdulilah, pengalaman dan persiapan dari segi mental, fizikal banyak membantu dalam ekspedisi ini,” katanya sambil tersenyum.

Nazri

Nazri

Katanya lagi, berat badan bukan ukuran untuk seseorang menjalankan aktiviti lasak tapi persediaan mental dan fizikal itu perlu.

Nazri turut menghadapi situasi mendebarkan apabila beliau nyaris terjatuh di permukaan batu yang licin tetapi berjaya dibantu hasil kerjasama daripada rakan-rakannya yang lain.

Menurutnya lagi cabaran yang paling perit ialah menaiki bukit dengan kecerunan 45 darjah sepanjang 40 meter.

Namun segala penat lelah hilang setelah sampai di pintu gua dengan pemandangan yang indah dengan hutan belantara yang masih kehijauan.

Bagi Kelab Belia Keningau, ekspedisi ini bakal menjadi suatu lagi aktiviti pelancongan dengan pemandangan yang cantik serta panorama yang memukau seolah-olah memanggil-manggil bakal pendaki atau pengembara hutan datang ke sini.

Kawasan gua yang unik dan cerita mitos yang tersendiri perlu dirasai bagi setiap pengemar aktiviti pengembara.

Kesemua ahli ekspedisi berharap agar Gua Laing dapat dipelihara dan dijaga kebersihannya untuk tatapan masyarakat dan juga para pelancong.

Bagi Pegawai Daerah Keningau, Yusof Osman, penemuan gua tersebut telah diketahui oleh pihak pengurusan daerah dan ketika ini pihak pengurusan sedang merancang akan membangunkan laluan ke gua terbabit bagi membolehkan kerja-kerja menaik taraf kawasan gua terbabit untuk dijadikan salah satu aktiviti pelancongan di daerah ini.

“Selain itu, pihak pengurusan pejabat daerah juga akan bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan Sabah bagi melakukan pelbagai promosi terhadap beberapa aktiviti yang bakal di tawarkan kepada pengunjung yang berkunjung ke gua terbabit”.

Beliau berkata demikian semasa ditemui semalam oleh Malaysia Aktif apabila mengulas terhadap aktiviti yang dilakukan oleh Kelab Belia Keningau terbabit.

Selain itu, Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Keningau, Rafik Jubar turut berkata gua terbabit akan dimajukan sebagai pusat pelancongan dengan melibatkan pelbagai pihak sama ada diperingkat negeri mahupun persekutuan untuk menaik taraf bagi membolehkan lokasi terbabit menjadi satu lagi mercu tanda pelancongan pada kempen ‘Visit Keningau 2018’ nanti.

“Namun, penduduk setempat juga perlu memain peranan penting dalam menjaga dan memelihara kawasan terbabit yang bukan sahaja sebagai suatu pusat pelancongan malah sebagai tatapan sejarah kepada anak cucu kelak.

Tambahnya, sama-samalah kita jaga untuk melestarikan hutan yang menjadi khazanah dan juga aset negeri Sabah yang indah lagi permai ini.

Gua Laing ini merupakan satu lagi tempat berpotensi dibangunkan sebagai lokasi pelancongan baharu di peta pelancongan daerah keningau selain Taman Banjaran Crocker, Bukit Lugas, Bukit Trig dan beberapa tempat menarik sekitar daerah terbabit.

SF

Tinggalkan komen anda