Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

Khidmat Anjing Pengesan Dadah Amat Diperlukan

By 28 Julai 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto oleh : Mohd Baharruddin Mohamad (Sarawak)

KUCHING, 28 Jul (Malaysiaaktif) – Anjing pengesan dadah adalah sangat perlu dalam memantapkan usaha membanteras kegiatan penyeludupan dadah ke Sarawak kerana aktiviti tersebut ke negeri ini semakin aktif dilakukan melalui pintu masuk utama seperti di lapangan terbang, pelabuhan dan jalan darat terutama di sempadan.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata sehingga kini Sarawak mempunyai hanya tiga ekor anjing pengesan di bawah Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan ternyata tidak mencukupi.

“Dengan ini kita berusaha memohon tambahan anjing pengesan dadah daripada ibu pejabat bagi memantapkan bahan terlarang berkenaan masuk ke negeri Sarawak supaya kegiatan ini dapat dibendung.

“Tambahan pula trend penghantaran dadah kini turut dibuat melalui perkhidmatan kurier atau diposkan dimana jika tiada anjing pengesan di tempat tersebut maka susah bagi kita untuk mengenal pasti atau membanteras bungkusan mencurigakan,” katanya.

Beliau yang juga pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysaia (PEMADAM) Sarawak berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Dadah (MTMD) peringkat negeri yang dihadiri Menteri Muda Belia dan Sukan, Snowdan Lawan di Bilik Mesyuarat UTC, Bangunan UTC Sarawak, di sini semalam.

Karim mendedahkan di Sarawak enam bulan pertama tahun ini menunjukkan peningkatan penyalahgunaan dadah jika dibandingkan tempoh sama pada tahun lepas.

Beliau menjelaskan jenis dadah  yang banyak disalahgunakan di sini adalah ganja dan shabu, dan kedua-dua jenis bahan terlarang tersebut berasal daripada bahan sintetik dan tanaman.

Seorang penjawat awam yang enggan dikenali berkata, antara isu yang semakin menjadi-jadi di sini adalah kes curi, pecah rumah dan jenayah lain yang disebabkan oleh penyalahgunaan dadah.

“Saya memang setuju dengan tindakan kerajaan menggunakan binatang seperti anjing untuk mengesan bahan terlarang tersebut demi membanteras penghantaran dadah ke negeri ini dan berharap agar negeri ini mencapai taraf sifar dadah,” ujarnya.

-SH

Tinggalkan komen anda