Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

Penghut Warisan Temurun Masyarakat Kayan

By 3 Julai 2017Tiada komen3 minit bacaan

 

 Laporan dan foto oleh : Luhat Ajang (Sarawak)

MIRI, 3 Jul (Malaysiaaktif) – Penghut dalam dialek masyarakat Kayan bermaksud hiasan yang terhasil dari kayu yang diraut halus, serta panjang mengurai yang sinonim dengan golongan Maren Uma/Hipun Uma (golongan bangsawan) dalam masyarakat Kayan.

Pada zaman dahulu ia berperanan sebagai perhiasan yang wajib ada ketika menyambut kehadiran pembesar dan pegawai-pegawai kerajaan yang datang berkunjung ke rumah panjang masyarakat Kayan.

Meraut Penghut memerlukan tumpuan penuh

Meraut Penghut memerlukan tumpuan penuh

Ini berikutan penghut ini melambangkan darjat atau status sosial seseorang pada zaman dahulu.

Masyarakat biasa tidak boleh sewenang-wenangnya membuat penghut kerana ditakut akan terkena tulah (sial).

Seminggu sebelum kunjungan tetamu kehormat, ketua kampung akan mengumpul dan mengarahkan orang-orang kampung untuk bekerjasama membuat hiasan ini.

Penduduk akan sama-sama mencari kayu yang sesuai untuk diraut bagi menghasilkan hiasan cantik ini. Kayu tersebut kemudiannya dikupas kulitnya sebelum dijemur seketika kerana kayu yang basah agak sukar diraut berbanding yang telah kering.

Suasana gotong-royong membuat penghut ini amat meriah kerana sambil bekerja mereka bergurau senda sambil dihiburkan oleh alunan muzik Sape dan Tekna’ (nyanyian tradisional). Segala penat lelah tidak dirasai kerana semuanya dilakukan dalam semangat harmoni di kalangan mereka.

Kayo’ Ti’o adalah antara kayu yang terpilih kerana mempunyai banyak keistimewaan. Selain batangnya senang diraut, daunnya juga boleh digunakan untuk membungkus lauk iaitu daging yang telah dimasak.

Selain itu, kayu yang dipilih haruslah daripada batang yang lurus serta kurang mempunyai dahan. Kesesuaian kayu ini akan menghasilkan penghut yang panjang, halus,cantik serta tahan lama.

Baya Laing @ Leju, 77 tahun dari Kampung Long Panai, Tutoh, dalam daerah Baram merupakan orang lama dan berpengalaman luas dalam bidang ini. Beliau memiliki kemahiran meraut sejak berusia 18 tahun dan mengakui kemahiran ini diwarisi daripada nenek moyangnya.

“Penghut amatlah penting dalam masyarakat Kayan pada zaman dahulu kerana tanpanya sesuatu majlis keramaian tidak akan berseri dan meriah. Penghut dianggap sebagai simbol dan identiti masyarakat Kayan ketika itu,” kata Baya memulakan perbualan.

“Di sinilah kita dapat melihat banyak Penghut yang panjang mengurai dipanggil Lakin Penghut yang melambangkan Maren Uma/Hipun Uma yang akan digantung mahupun diikat di tiang-tiang rumah panjang dengan diikuti penghut yang pendek yang melambangkan masyarakat kampung.

“Kebiasaannya, rumah ketua kampung akan dihiasi dengan hiasan ini ketika menyambut tetamu,” ujarnya lagi.

Dahulunya, kebanyakan kampung masyarakat Kayan terletak di tepi sungai dan tiada pengangkutan darat. Oleh itu, para tetamu dan pegawai-pegawai kerajaan yang datang ke rumah panjang perlu menggunakan perahu sebagai pengangkutan utama.

Masyarakat kampung akan menghiaskan laluan dari tebing sungai dengan penghut hinggalah ke rumah ketua kampung.

Pisau atau Yuh yang digunakan untuk meraut ini bukanlah daripada jenis pisau biasa atau sembarangan kerana untuk memperoleh hasil yang memuaskan dan berkualiti tinggi, pisau haruslah mempunyai bilah yang kecil, panjang dan amat tajam.

Yuh yang digunakan untuk meraut penghut

Yuh yang digunakan untuk meraut penghut

“Semakin halus, nipis dan panjang rautan itu, semakin cantiklah ia. Walaupun kerja meraut ini kelihatan mudah, tetapi sebenarnya ia adalah satu kerja tangan yang agak sukar kerana si peraut perlu memberi sepenuh perhatian dan bijak mengawal pernafasan bagi mengelakkan proses meraut itu terganggu dan boleh menyebabkan rautan tersebut rosak,” tambah Baya lagi.

Walau bagaimanapun, Baya tetap berbangga dengan perhiasan penghut ini kerana masih digunakan sebagai perhiasan tradisional di beberapa tempat namun beliau agak kecewa kerana generasi muda sekarang khasnya masyarakat Kayan belum menunjukkan minat yang mendalam untuk mewarisi kemahiran ini.

“Tidak salah jika diadakan pertandingan membuat penghut bagi menarik minat dan kemahiran mereka dalam memelihara tradisi ini,” katanya lagi sambil mengharapkan agar golongan pemimpin turut memainkan peranan memelihara tradisi ini.

Selain dijadikan hiasan, penghut juga amat berguna dijadikan sebagai sumber bahan api khususnya ketika berada di dalam hutan.

Sebelum mengakhir perbualan, Baya dan rakan-rakannya berharap agar budaya menghias rumah sama ada di rumah panjang ataupun rumah di bandar bagi masyarakat Kayan dan Orang Ulu haruslah dipelihara, dikekalkan serta dimartabatkan supaya ia terus diwarisi sehingga akhir zaman.

-SH

Tinggalkan komen anda