Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

OUNA Meriahkan Rumah Terbuka Ketua Menteri Sarawak

By 3 Julai 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto oleh : Luhat Ajang (Sarawak)

KUCHING, 3 Jul (Malaysiaktif) – Seramai 200 orang ahli Persatuan Kebangsaan Orang Ulu Sarawak (OUNA) dan keluarga telah mengadakan kunjungan ke rumah terbuka dua pemimpin tertinggi Sarawak, sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Kunjungan diketuai oleh presiden persatuan, Datuk Dr. Abu Bakar Abdullah @ Tom Belarek.

Kunjungan bertujuan bagi mengekalkan dan memelihara tradisi kunjung-mengunjung yang diamalkan turun-temurun oleh masyarakat berbilang kaum di negeri ini di samping mengeratkan silaturahim.

Persembahan ngajat dipersembahkan tanda gembira

Persembahan ngajat dipersembahkan tanda gembira

Sebanyak empat buah bas telah ditempah khas untuk kunjungan ini.

Abu Bakar ketika ditemui mengucapkan jutaan terima kasih kepada ahli-ahli OUNA yang turut serta dalam menjayakan kunjungan kali ini.

Beliau turut menegaskan bahawa kunjungan sebegini sudah menjadi tradisi OUNA setiap tahun sambil menyatakan sokongan dan penghargaan ke atas pemimpin tertinggi yang telah banyak membantu persatuan ini mahupun masyarakat Orang Ulu.

“Tidak kira bangsa, agama mahupun kepercayaan, kita haruslah menghormati antara satu sama lain lebih-lebih lagi pada perayaan sebegini.

“Marilah kita bersama mengekalkan perpaduan yang selama ini kita dukung dan nikmati khasnya di Sarawak,” ujarnya lagi.

Abang Jo tertarik dengan Sape' yang dibawa oleh salah seorang ahli rombongan

Abang Jo tertarik dengan Sape’ yang dibawa oleh salah seorang ahli rombongan

Destinasi pertama kunjungan ialah ke Rumah Terbuka Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK).

Ketibaan mereka disambut meriah tuan rumah sambil ahli-ahli rombongan tidak melepaskan peluang bersalam-salaman sambil mengucapkan selamat Hari Raya.

Setelah menjamu selera dengan juadah raya yang disediakan, peserta rombongan turut merakam gambar kenangan bersama Abang Jo dan isteri serta mempersembahkan nyanyian Parap/Tekna’ ( Nyanyian tradisional masyarakat Orang Ulu ).

Pada sebelah petang pula, rombongan kemudiannya meneruskan kunjungan ke Rumah Terbuka Tuan Yang Terutama Yang Di-pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud dan isteri di Astana Negeri Sarawak.

Rombongan juga turut mengambil kesempatan bergambar beramai-ramai bersama Tun Taib dan isteri seterusnya mempersembahkan tarian ngajat lelaki dan wanita.

-SH

Tinggalkan komen anda