Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeSelangor

Wanita Lega Nasib Warga Emas Hidup Sendirian Di Hutan Terbela

By 19 Julai 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

Laporan dan foto oleh: Mohd Zaid Awang & Noriah Athan (Gombak)

SUNGAI BULOH, 19 Jul (Malaysiaaktif) – “Saya mengucapkan syukur kerana hasrat saya membantu pak cik Amirrudin akhirnya tercapai apabila dia akan dipindahkan ke Rumah Orang Tua Seri Kenangan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hari ini.”

Demikian luah Sara Anna Jamal, 23, insan yang menemui warga emas, Amirrudin Zamzudin, 79, yang hidup sebatang kara di sebuah pondok di kawasan rumah kongsi berhampiran Taman Sri Putra Mas, di sini.

Menceritakan detik bertemu Amirrudin pada Khamis lepas, Sara memaklumkan dia bersama kawannya dalam perjalanan berhari raya apabila ternampak seorang lelaki tua bersama basikalnya dalam keadaan letih dan kurang sihat (semput).

Akhirnya hasrat saya membantu pak cik Amirrudin tercapai - Sara Anna Jamal, wanita yang menemui warga emas itu.

Akhirnya hasrat saya membantu pak cik Amirrudin tercapai – Sara Anna Jamal, wanita yang menemui warga emas itu.

“Pak cik Amirrudin memaklumkan dia tiada ahli keluarga dan membawa kami ke sebuah pondok kecil di tepi hutan yang serba daif,” ujarnya.

Disebabkan itu juga, Sara memuat naik kisah warga emas ini di laman Facebook dengan tujuan supaya ada pihak tertentu yang tampil membantu insan tersebut sehinggalah kisah tersebut menjadi tular sejak minggu lepas.

Hasilnya, hari ini JKM bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang, Datuk Abdul Shukur Idrus turun sendiri ke pondok Amirruddin untuk menghulurkan bantuan.

Datuk Abdul Shukur Idrus sedang memujuk Amirrudin untuk ke hospital dan berpindah ke Rumah Orang Tua Seri Kenangan, Cheras.

ADUN Kuang, Datuk Abdul Shukur Idrus sedang memujuk Amirrudin untuk ke hospital dan berpindah ke Rumah Orang Tua Seri Kenangan, Cheras.

Pujukan Abdul Shukur berjaya membawa warga emas yang sebatang kara itu keluar dari pondok yang daif untuk diserahkan kepada JKM.

Abdul Shukur memaklumkan Amirrudin yang dikenali sebagai Wo pernah bekerja sebagai pembantu di kediamannya kira-kira 10 tahun lalu selama hampir empat tahun tetapi berhenti kerana kurang sihat.

“Selepas itu saya dimaklumkan Wo bekerja menjaga kebun milik orang lain yang terletak tidak jauh dari kediaman saya.

Pondok kecil di kawasan rumah kongsi Taman Sri Putra Mas yang menjadi tempat berteduh warga emas ini.

Pondok kecil di kawasan rumah kongsi Taman Sri Putra Mas yang menjadi tempat berteduh warga emas ini.

“Walaupun telah tidak bekerja dengan saya, tetapi setiap bulan saya menyumbangkan RM400 untuk kos sara hidupnya yang memang hidup sebatang kara sahaja. Saya mengenalinya sejak saya belum menjadi wakil rakyat lagi.

“Namun, saya terkejut apabila melihat Wo kini yang kelihatan terlalu uzur dan tidak mampu mengurus hidupnya seorang diri,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pondok warga emas itu.

ADUN Kuang, Datuk Abdul Shukur Idrus (kanan) bersama Pegawai JKM Daerah Gombak, Zulyadain Lilmat (kiri) mengiring Amirrudin untuk di bawa ke Hospital Sungai Buloh.

Datuk Abdul Shukur Idrus (kanan) bersama Pegawai JKM Daerah Gombak, Zulyadain Lilmat (kiri) mengiring Amirrudin untuk di bawa ke Hospital Sungai Buloh.

Dalam pada itu, Pegawai JKM, Zulyadain Lilmat, ketika ditemui berkata warga emas tersebut akan dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk tujuan pemeriksaan kesihatan dan sekiranya tiada masalah kesihatan akan ditempatkan di Rumah Orang Tua Seri Kenangan, Cheras.

“Ini merupakan prosesur biasa bagi setiap kes seumpama ini dan di Rumah Orang Tua Seri Kenangan nanti Amirrudin akan dipantau dan diuruskan dengan sempurna,” jelasnya.

 

 

-DZ

Tinggalkan komen anda