Skip to main content
Berita TempatanSabah

Ada Yang Mahu Jadi Ultraman

By 26 Ogos 2017Tiada komen3 minit bacaan

Laporan: Fauzrina Bulka / Foto: Nur Effa Maruf

TAWAU, 26 Ogos (Malaysiaaktif) – “Ada pelajar yang mahu jadi ultraman sebab ada antara mereka tidak faham erti kemerdekaan, tapi sentiasa berkeinginan mahu selamatkan orang lain dan berjasa.

Demikian kata guru Pendidikan Khas (PK), Kartina Sitti Aisya Makulan @ Kilau ketika ditemui dalam Program Kembara Merdeka Negaraku pada hentian kedua di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Balung, di sini.

“Selaku guru, kami sering bertukar pendapat dan cerita kehidupan, pelajar-pelajar khas ini juga menginginkan kehidupan yang sempurna satu masa nanti seperti menjadi anggota polis, tukang masak mahupun penjual buah,” katanya.

Tambahnya, pelajar PK masalah pembelajaran terdiri daripada pelbagai keupayaan, bagi yang bermasalah lambat belajar, tiada masalah untuk mendidik mereka memahami apa itu erti kemerdekaan.

Sifat saling membantu terakam ketika dua pelajar ini membantu rakan mereka yang menghidap cerebral palsy menerima bantuan sumbangan.

Sifat saling membantu terakam ketika dua pelajar ini membantu rakan mereka yang menghidap cerebral palsy menerima bantuan sumbangan.

“Namun bagi pelajar seperti autisme, down sindrom atau celebral palsy terdapat beberapa cabaran yang dihadapi, antaranya pelajar ini lebih kepada tingkah laku peniruan, jika pelajar normal melaungkan merdeka, mereka juga mampu melaungkan dengan penuh semangat walaupun tidak tahu apa maksud laungan tersebut,” jelasnya.

Tambahnya, guru-guru PK cuba membawa kelainan dalam aktiviti yang dijalankan untuk pelajar sempena sambutan bulan kebangsaan.

“Tahun ni kami cuba mengetengahkan permainan tradisi yang kian dilupa oleh masyarakat hari ini kepada pelajar-pelajar Pendidikan Khas iaitu permainan congkak, batu seremban juga cara membuat dan terbangkan layang-layang,” jelasnya.

Selain itu, para guru juga membuat aktiviti fesyenista kemerdekaan menggunakan bahan terbuang seperti surat khabar untuk mencungkil bakat dan kreativiti mereka selain mengadakan kuiz kemerdekaan.

IMG_7802

“Pelajar memberi sepenuh komitmen dan kerjasama yang baik sepanjang program dan membuktikan bahawa diri mereka mampu memahami erti kemerdekaan yang telah dikecapi sekali gus dapat menghayati dengan lebih mendalam,” katanya.

Sementara itu, pelajar yang juga anak yatim Mohd Irfan Jumat berniat untuk menyerahkan sumbangan yang diterimanya kepada ibu agar dapat digunakan untuk membeli makanan mereka lima beranak.

“Bapa saya sudah lama meninggal akibat demam malaria dan sekarang saya hanya bergantung kepada ibu yang bekerja sebagai tukang sapu di sekolah ini,” katanya yang merupakan anak keempat daripada lima beradik.

Irfan yang berada di tingkatan satu bercita-cita untuk menjadi anggota polis supaya dapat membalas jasa ibu menyekolahkannya dan menjaga adik beradiknya.

“Saya juga berharap agar dapat membantu menjaga negara supaya sentiasa aman dan memastikan tidak ada gangguan daripada negara luar yang boleh menjejaskan perpaduan negara kita,”katanya.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan turut hadir dalam program tersebut dan menyampaikan sumbangan kepada 20 orang pelajar termasuk enam pelajar OKU, pagi tadi.

“Kita dapat melihat pelajar-pelajar
Orang Kelainan Upaya (OKU) turut diberi sumbangan dan keprihatinan yang ditunjukkan oleh kerajaan itu menunjukkan mereka juga turut menerima nikmat kemerdekaan dan hasil kejayaan negara.

“Dalam pembentangan Bajet yang diumumkan oleh Perdana Menteri, kerajaan menitikberatkan kebajikan OKU dengan menyediakan pelbagai peruntukan untuk keselesaan mereka sebagai rakyat Malaysia dan warganegara yang merdeka,” ujarnya.

Dengan itu, kata Nizam, rakyat harus bersyukur kerana lahir dan menjadi warganegara Malaysia kerana sejak negara mencapai kemerdekaan, kita mempunyai kerajaan yang cukup bertanggungjawab.

“Bukan sahaja mereka yang berada di bandar tetapi yang berada di luar bandar tidak mengira bangsa dan agama, pemimpin dan kerajaan akan terus pastikan kita menerima nikmat kemerdekaan dan kejayaan kita yang merdeka sejak 1957 lagi,”ujarnya.

Nizam memberi pelepasan kepada peserta konvoi.

Nizam memberi pelepasan kepada peserta konvoi.

Program dua hari anjuran Jabatan Penerangan Sabah Bahagian Tawau itu bermula di Menara Persekutuan Tawau, berhenti di SMK Balung sebelum ke hentian Kunak yang terletak di Pejabat Daerah dan berakhir di SMK Sepagaya untuk hari pertama.

Program akan diteruskan pada hari kedua dengan bertolak ke Semporna sebelum 13 buah kenderaan tersebut berpatah balik ke daerah Tawau.

SF

Tinggalkan komen anda