Skip to main content
Berita TempatanSabah

Kembara Merdeka NegaraKu KK Meriah

By 3 Ogos 2017Tiada komen3 minit bacaan

Laporan: Asmidar Zainol / Foto: Jeffren Malaning (Sabah)

KOTA KINABALU, 3 Ogos (Malaysiaaktif) – Tidak pernah terlintas dalam benak fikiran seorang warga emas Pilihia Bojiki, 64, tersenarai antara penerima sumbangan pada program Kembara Merdeka Negaraku ke kampungnya.

Pilihia yang tinggal di Kampung Minintod, Inanam, teruja apabila terpilih penerima sumbangan tersebut dan kedatangan rombongan Kembara berkenaan ke kampung tersebut menjadi kebanggaan kepada mereka.

“Ini kali pertamanya program seumpama ini diadakan di kampung kami dan pastinya seluruh penduduk kampung gembira, teruja dan bangga kerana kampung kami dipilih.

“Bagi sambutan kebangsaan tahun ini, saya dan keluarga merancang untuk bersama-sama memeriahkannya dengan turut hadir menyaksikan perbarisan Hari Kebangsaan di Kota Kinabalu hujung bulan nanti.

“Saya berharap dengan menyaksikan perbarisan tersebut akan dapat memberi pendedahan kepada anak dan cucu-cucu saya tentang kemerdekaan negara di samping melihat pemimpin negeri dengan lebih dekat,”  katanya.

Kembara Merdeka NegaraKu yang dilancarkan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman pada 1 Ogos di pekarangan Dewan Bandar Raya Kota Kinabalu mendapat sambutan meriah daripada masyarakat setempat sepanjang jelajahnya di sekitar bandar raya Kota Kinabalu.

Wasrin (kanan), mengetuai rombongan Kembara Merdeka NegaraKu 2017

Wasrin (kanan), mengetuai rombongan Kembara Merdeka NegaraKu 2017

Konvoi disertai 50 peserta melibatkan 15 kenderaan daripada agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) menjelajah mendekati rakyat di Kampung Kopungit, Majlis Daerah Putatan dan sekitar pekan Putatan serta Kampung Minintod, Inanam.

Sementara itu, Penduduk kampung Kopungit, Jially @ Peter bin Petrus, 50, usaha Japen masuk ke kampung menggelorakan sambutan Bulan Kebangsaan 2017 adalah bertepatan.

“Program sebegini ialah sesuatu yang baik dan secara tidak langsung dapat memberi pendedahan kepada masyarakat terutamanya kanak-kanak tentang cara-cara kita dapat menghargai erti kemerdekaan.

“Masyarakat sering didedahkan situasi peperangan melalui siaran kaca televisyen setiap hari serta pemberontakan di negara-negara lain, tapi syukur di Malaysia ini kita masih lagi dapat meneruskan kehidupan dengan aman damai,” katanya.

Jially yang mengidap penyakit strok sejak empat tahun lalu merupakan seorang daripada penerima bantuan barangan harian daripada Jabatan Penerangan (Japen) pada majlis tersebut kelmarin.

Menurut Pengarah Penerangan Sabah, Suwadi Guliling, kembara berkenaan merupakan antara sebuah program sempena Bulan Kebangsaan 2017 anjuran Japen Sabah selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerja Publisiti dan Media.

“Pelbagai pengisian dilaksanakan bagi menggelorakan sambutan tersebut dalam kalangan rakyat di negara ini khususnya di Sabah iaitu antaranya ialah Kembara Merdeka NegaraKu sebagai satu kaedah untuk membangkitkan semangat patriotisme rakyat di kawasan bandar hingga ke peringkat akar umbi.

“Japen melalui pejabat-pejabatnya di bahagian dan daerah akan turun padang masuk ke kampung-kampung dalam usaha bersama-sama dengan mereka di pedalaman meraikan dan seterusnya membangkitkan semangat cinta akan negara.

Kanak-kanak tadika Kampung Kopungit bergambar kenangan bersama tetamu kehormat selepas majlis penyampaian hadiah pertandingan mewarna.

Kanak-kanak tadika Kampung Kopungit bergambar kenangan bersama tetamu kehormat selepas majlis penyampaian hadiah pertandingan mewarna.

“Kembara Merdeka ini akan diteruskan sehingga Hari Kebangsaan nanti, manakala program-program lain seperti Pertandingan Fotografi NegaraKu, Pertandingan Poster NegaraKu, Pertandingan Keceriaan NegaraKu, Pertandingan Grafiti Negaraku dan Buskers NegaraKu di Kota Kinabalu, Keningau dan Kota Belud akan diteruskan sehingga sambutan Hari Malaysia pada 16 September.”

Demikian katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian Program Negaraku@Merdeka di Mini Dewan Kampung Minintod, Inanam pada Selasa.

Suwadi turut berterima kasih kepada masyarakat tempatan yang memberi sokongan dengan menyertai program yang telah dirancang oleh pihaknya.

“Sebagai contohnya hari ini, sambutan amat menggalakkan sewaktu kita melalui beberapa tempat dan kampung di sekitar Kota Kinabalu dan semasa aktiviti Buskers dan Kuiz, orang ramai secara sukarela menyertainya dan saya harap ini merupakan permulaan yang baik untuk masa-masa akan datang nanti,” ujarnya.

Dalam pada itu, Suwadi turut menyeru Generasi Y atau Generasi TN50 untuk terus memupuk semangat cinta akan negara dan menghargai kemerdekaan yang telah dikecapi hasil perjuangan pemimpin-pemimpin lepas.

SF

Tinggalkan komen anda