Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

Niat Mengerjakan Haji Bersama Tidak Kesampaian

By 3 Ogos 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto : Mohd Baharruddin Mohamad(Sarawak)

KUCHING, 3 Ogos (Malaysiaaktif) – Hati gembira tidak terkata, bersulam perasaan sedih menusuk dada, hanya Allah yang mengetahuinya, begitulah keluhan salah seorang daripada 160 jemaah haji yang dipanggil untuk menunai ibadah haji tahun ini.

Fatimah Haji Borhan dari Miri yang menaiki penerbangan KT24 sempat ditemui di lapangan terbang Antarabangsa Kuching pagi semalam berkata, niat untuk pergi menunaikan haji bersama-sama tidak kesampaian apabila suami telah meninggal dunia sebelum musim haji tiba.

“Sebelum ini saya berharap dan berdoa agar niat kami untuk pergi bersama-sama ke tanah suci agar dapat membantu saya kerana mengalami sakit lutut dan tidak berupaya untuk berjalan  sendiri.

Jainap Dolah menunggu giliran masuk untuk pendaftaran di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

Jainap Dolah menunggu giliran masuk untuk pendaftaran di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

“Kini saya terpaksa pergi seorang diri tanpa ditemani sesiapa walaupun saya merayu agar anak dapat pergi bersama-sama mengerjakan ibadah haji kali ini sebagai ganti ayahnya. Oleh kerana permohonan saya tidak berjaya, saya tetap berusaha dan berdoa agar saya selamat pergi dan selamat kembali ke tanah air nanti,” ujarnya lagi.

Sementara itu, seorang lagi Jemaah yang turut berkongsi rasa yang sama, Jainap Dolah, 78, dari Bintulu, sedikit kecewa kerana hasrat untuk ditemani dua orang anak perempuannya tidak kesampaian.

Jainap merupakan salah seorang antara jemaah haji yang tertua dalam penerbangan ketiga dari Sarawak ini.

Salmah Yusup, 46, anak kepada Jainap berkata walaupun terpaksa pergi seorang diri bersama emak tanpa adiknya namun mereka berdoa agar sentiasa dalam keadaan yang sihat dan selamat.

“Memandangkan suaminya baru sahaja dijemput illahi dan tiada orang menjaga anak yang masih kecil, beliau terpaksa mengundur diri kali ini dan berharap agar dijemput Allah SWT pada musim akan datang.

“Harapan kami bertiga pergi bersama-sama agar dapat membantu emak kami apabila sampai di tanah suci nanti namun rancangan kami berkecai namun tekad hati saya berusaha sedaya upaya menunaikan ibadah tersebut,” jelasnya lagi.

 

-SH

Tinggalkan komen anda