Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

Patuhi Arahan Tabung Haji – Abang Johari

By 3 Ogos 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto : Mohd Baharruddin Mohamad / Mahmud Sulaiman (Sarawak)

KUCHING, 3 Ogos (Malaysiaaktif) – Bakal Jemaah Haji yang akan berangkat ke Tanah Suci disaran supaya mematuhi arahan pihak Tabung Haji bagi menjaminkan keselamatan jemaah serta melicinkan lagi proses mengerjakan haji nanti.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg menasihati bakal jemaah haji supaya terus komited menjaga nama baik negara kerana jemaah negara ini terkenal dengan disiplin yang tinggi serta patuh dengan segala arahan daripada pihak berkuasa Arab Saudi mahupun peraturan-peraturan yang telah digariskan oleh Tabung Haji.

Abang Johari (kanan sekali) bersalaman dan mengucapkan selamat berangkat kepada jemaah haji.

Abang Johari (kanan sekali) bersalaman dan mengucapkan selamat berangkat kepada jemaah haji.

“Diharapkan sepanjang berada di sana nanti, kesemua jemaah dapat menjaga kesihatan ketika menunaikan ibadat haji kerana sekarang cuaca agak panas di Mekah.

“Perkara (ibadah) yang wajib, diberi tekanan, yang lainnya kalau kesihatan tidak mengizinkan, tidak perlu dilakukan,” ujarnya lagi.

Perkara lain yang ditekankan kepada bakal jemaah supaya sentiasa memakai kad pengenalan diri dan gelang tangan supaya mudah dikenal pasti sekiranya berlaku sebarang kecemasan.

Beliau yang turut ditemani isteri Datin
Amar Juma’ani Tuanku Bujang bersalaman dengan 160 bakal jemaah haji yang berlepas ke Kuala Lumpur menggunakan penerbangan khas keempat MAS MH8167A / KT27Q, 11.40 malam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching semalam.

Annuar Abdul Razak, dari Kampung Santubong berkata sekiranya setiap arahan dikeluarkan dipatuhi pasti tidak akan berlaku sebarang masalah.

“Kita mesti patuh dengan segala arahan dari semasa ke semasa agar segala urusan dapat berjalan dengan lancar,” ujarnya yang mengerjakan ibadah ini buat kali kelima.

“Hasrat di hati saya jika dimakbulkan, saya ingin menunai ibadah haji sehingga tujuh kali. Kali pertama saya menunaikannya pada tahun 1989, diikuti pada tahun 1999, 2002, 2010 dan tahun ini merupakan tahun kelima saya menunaikan haji.

“Jika umur panjang dan murah rezeki saya ingin mengerjakan ibadah ini sebanyak tujuh kali,” katanya lagi.

-SH

Tinggalkan komen anda