Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajayaViralWilayah Persekutuan

Mahu Buktikan Melayu Takkan Hilang Di Dunia

By 31 Ogos 2017September 5th, 2017Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

Laporan dan foto oleh: Syed Fauzi Syd Mostapa (Putrajaya)

KUALA LUMPUR, 31 Ogos (Malaysiaaktif) –  Tatkala persembahan kontinjen yang memeriahkan pentas utama Sambutan Hari Kebangsaan ke-60 di Dataran Merdeka sedang berlangsung, kelihatan kelibat beberapa pemuda berbaju tradisional Melayu lengkap persis pahlawan Melayu satu ketika dahulu bergambar tanpa henti dengan pengunjung yang hadir.

Menurut Pengiran Nur Dian Syah, 31, yang berasal dari Gombak, mereka mengenakan busana Melayu tradisional bagi mewakili Persatuan Seni Silat Gayung Makrifat untuk memaparkan kebudayaan unik yang ada di Malaysia sejak dahulu.

“Setiap tahun kami datang ke Dataran Merdeka dengan lengkap berbusana Melayu bersamping, bertanjak dan lengkap dengan aksesori Melayu untuk memartabatkan budaya Melayu itu sendiri.

“Tuanku Abdul Rahman ketika zaman kemerdekaan 1957 dahulu pun berpakaian Melayu begini. Kami cuba nak kenang jasa pemimpin dan pahlawan Melayu dahulu yang berjuang bersama untuk mencapai kemerdekaan dengan berpakaian sebegini,” jelasnya.

Dian lengkap berbusana Melayu tradisional.

Dian lengkap berbusana Melayu tradisional.

Dian menambah mereka yang terdiri daripada 20 orang berpecah di seluruh Dataran untuk menggayakan busana Melayu.

“Busana dan tanjak ini bebas dipakai di khalayak awam. Untuk selempang, kita pakai untuk tunjukkan martabat satu anugerah ketika zaman kesultanan sebelum kemerdekaan.

“Bersamping dan bersongket untuk menggambarkan semangat Laksamana Hang Tuah Takkan Melayu Hilang di dunia.

“Kami cuba tampilkan semula semangat itu untuk generasi y dan pelancong yang datang. Kalau gen y hari ni ada yang tak tahu ni tanjak ke apa, jadi kita ceritakan kepada mereka berkaitan seni busana tradisional Melayu ini,” katanya yang telah terlibat lebih lima tahun dalam acara Hari Kebangsaan.

Mengulas mengenai sambutan Hari Kebangsaan, Dian berkata sambutan tahun ini tampak berbeza kerana perbarisan diadakan secara bulatan untuk membangkitkan memori 1957.

“Istimewanya tahun ini suasana yang gamat, kemudian dari segi perbarisan juga dibuat secara bulatan yang menggambarkan keadaan dalam Stadium Merdeka pada 1957,” katanya.

Sementara itu, pesilat paling muda yang berasal dari Cheras, Ahmad Mustaqim Mat Termizi, 19, berasa teruja dengan penglibatan kali pertamanya.

“Kami berkumpul sejak 7.00 pagi dan berjalan satu dataran dengan niat nak hidupkan budaya Melayu lama dengan bertanjak dan bersamping.

“Kami nak buktikan yang Melayu ni takkan hilang di dunia sampai bila-bila.

“Saya rasa puas kerana boleh tunjuk keunikan kepada semua kaum yang ada di Malaysia. Lebih-lebih lagi sikap hulubalang Melayu yang berani itulah yang kami cuba tampilkan,” jelasnya.

Ahmad Mustaqim bangga dengan pencapaian 145 emas atlet Malaysia.

Ahmad Mustaqim bangga dengan pencapaian 145 emas atlet Malaysia.

Tambahnya, kemerdekaan Malaysia menggambarkan kemajuan yang dicapai sehingga hari ini.

“Kejayaan Malaysia yang saya nampak ialah bangunan pencakar langit, pemimpin berwibawa bahkan kejayaan atlet berbilang kaum yang memperoleh 145 emas dalam Sukan Sea yang berakhir semalam menunjukkan Malaysia kini berada dalam kelas yang tersendiri.

“Saya berharap belia perlu tonjolkan diri dan melibatkan diri dalam kesenian dan kebudayaan supaya kita boleh kekalkan budaya unik masyarakat Malaysia,” ujarnya lagi.

Sambutan Hari Kebangsaan 2017 yang menampilkan tema Negaraku Sehati Sejiwa ini menglibatkan penyertaan lebih 17,000 peserta dan 321 aset udara serta darat.

– AH

 

Tinggalkan komen anda