
Laporan dan foto oleh: Aimi Huwaina (Putrajaya)
KUALA LUMPUR, 31 Ogos (Malaysiaaktif) – Sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Merdeka, di sini diceriakan dengan kehadiran segelintir pengunjung yang lengkap berbaju jalur gemilang, hari ini.
Menurut pengunjung, Hanani Sabrani, 30, dia memang sengaja menyediakan pakaian bertemakan jalur gemilang buat ketiga-tiga anak perempuannya.
“Baju ini saya main buat saja, terfikir untuk buat sendiri, main jahit saja. Inipun tak adalah belajar mana-mana, tengoklah jahitanpun tak berapa ok sangat, janji dapat hasilkan ini, saya buat saja,” katanya.
Kata Hanani, anak-anaknya teruja dan tidak sabar melihat hasil baju jalur gemilang mereka sejak awal bulan lagi.
“Anak-anak sebelum 31 hari bulan ini asyik tanyalah bila nak jahit baju merdeka, cepatlah..
“Selagi tak jahit baju merdeka, selagi itu diaorang asyik tanya. Sampai duduk sebelah mesin jahit, tanya ini nak buat macam mana, nak buat baju ke kain,” katanya lagi.
Hanani yang baru pertama kali datang ke sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Merdeka berpendapat bahawa semangat merdeka jelas terpancar daripada orang ramai yang berpusu-pusu ke sini sejak awal pagi lagi.
“Nak ajar anak-anak, diaorang pun setiap tahun tengok dekat depan televisyen sahaja. Diaorang selalu tanya itu apa ini apa.
“Bila datang sini anak-anak terujalah tengok ramai, ada pasukan kuda, tentera darat dan lain-lain, jadi memang seronoklah,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi pengunjung yang lengkap berpakaian jalur gemilang, Shahlan Mulia, 13, berkata pakaiannya itu telah dijahit khas oleh ibunya.
Jelas Shahlan, kunjungannya buat kali kedua ke sambutan Hari Kebangsaan ini memberikan kepuasan dan kegembiraan kepadanya kerana berpeluang menonton persembahan dan perarakan Hari Kebangsaan secara langsung.
Dalam pada itu, pelajar, Ibrahim Mudin, 16, yang datang ke Dataran Merdeka bersama rakan-rakannya, sepakat mengenakan jersi Malaysia.
Kata Ibrahim, sambutan di Dataran Merdeka ini adalah sangat meriah dengan kehadiran ribuan penonton.

Para pelajar Sekolah Tinggi Islam As-Sofa ceria memakai jersi Malaysia dan mengibarkan jalur gemilang.
Sambutan Hari Kebangsaan Ke-60 dengan tema ‘Negaraku Sehati Sejiwa’ ini di sambut meriah dengan kehadiran ribuan rakyat Malaysia dan pelancong serta persembahan dan perarakan menarik oleh hampir 20,000 peserta.