Skip to main content
Berita TempatanSabah

SMK Limbanak Ajak Gelorakan Cinta Negara

By 4 Ogos 2017Ogos 7th, 2017Tiada komen3 minit bacaan

Laporan: Fauzrina Bulka / Foto: Vicky Sylvester Matanjang

PENAMPANG, 4 Ogos (Malaysiaaktif) – “Jika pelajar-pelajar dapat menghayati sepenuhnya program yang kita jalankan pada hari ini, sebenarnya mereka telah menghabiskan satu bab mata pelajaran sejarah kemerdekaan Malaysia.”

Demikian kata Pengetua SMK Limbanak, Denis Gompion, ketika lebih 400 pelajarnya mengagihkan bendera di sekitar Kampung Limbanak yang dibekalkan oleh Jabatan Penerangan (Japen) dalam Kempen Kibar dan Jelajah Jalur Gemilang Sempena Bulan Kebangsaan, pada Khamis.

Para pelajar terbabit bersemangat berjalan kaki sejauh dua kilometer sambil menyanyikan lagu-lagu patriotik yang dipasangkan melalui kenderaan Jabatan Penerangan.

Megah mengibarkan bendera.

Megah mengibarkan bendera.

Menurutnya, program ini diadakan supaya pelajar dapat memahami nilai-nilai kemasyarakatan melalui aktiviti menjelajah ke kampung dan membantu mengibarkan bendera di samping boleh dijadikan sebagai salah satu kerja sosial mereka.

Tambahnya, jika dengan hanya memasang bendera di pagar sekolah, pelajar-pelajar hanya akan melihatnya sahaja tanpa ada perasaan namun dengan aktiviti luar sebegitu, bukan hanya menarik minat pelajar tetapi juga masyarakat sekeliling Kampung Limbanak.

“Selepas jelajah ke kampung tadi, pelajar-pelajar juga bersama-sama menurunkan cap tangan ke kain rentang yang berukuran 50 meter untuk menunjukkan aspirasi mereka dengan sambutan Hari Kebangsaan,” ujarnya.

Antara aktiviti lain bagi menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan pelajar ialah Pertandingan Hiasan Bilik Darjah dengan tawaran hadiah berserta sijil.

“Kami juga akan adakan Pertandingan Pidato Merdeka dan Kuiz Kenegaraan pada setiap isnin ketika perhimpunan serta mengadakan pameran yang memaparkan gambar-gambar semasa proses kemerdekaan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Penerangan Daerah Penampang, Edi Rizam Kasim berkata sebanyak 150 buah bendera pelbagai saiz telah dibekalkan oleh jabatan untuk kegunaan pihak sekolah.

“Ini merupakan salah satu program yang dijalankan untuk menyemai dan menyebarkan mesej bulan kemerdekaan kepada seluruh lapisan masyarakat selaras dengan saranan Perdana Menteri kita,” katanya.

Oleh itu katanya, jabatan akan mulakan program ini di peringkat sekolah dan seterusnya di peringkat daerah yang melibatkan agensi kerajaan dan swasta.

“Seperti yang kita lihat tadi belum ada bendera yang dipasang di hadapan rumah dan kita beranggapan, kita masih berada pada awal bulan tapi kita sudah mulakan seawal hari ini dengan pemasangan bendera oleh pelajar-pelajar tadi,” katanya.

Menurut Edi, Pejabat Penerangan Daerah akan menganjurkan Kembara Berbasikal pada 23 Ogos nanti dengan jangkaan penyertaan seramai 100 buah basikal melibatkan agensi kerajaan dan swasta.

“Peserta-peserta akan berkumpul di Pejabat Daerah dan seterusnya berbasikal ke beberapa buah kampung mengedarkan bendera dan juga menaikkannya di tiang-tiang sekolah disamping pertandingan basikal berhias,” jelasnya.

Denis(kanan) meninggalkan cap tangan pada kain rentang.

Denis(kanan) meninggalkan cap tangan pada kain rentang.

Sementara itu, menurut Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, Richard Godomon, Pejabat Pendidikan Daerah sentiasa melaksanakan usaha-usaha untuk meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan pelajar dengan merangka satu jawatankuasa dan pelancaran di peringkat daerah.

“Sebenarnya kita agak sedih dengan sikap para pelajar lebih-lebih lagi dengan isu pergaduhan yang timbul baru-baru ini yang berlaku di Kunak, kalau kita ada semangat perpaduan dan semangat kekitaan dalam kalangan pelajar, pasti perkara tersebut tidak berlaku,”katanya.

Menurutnya, semangat kekitaan menerusi kemerdekaan itu sendiri boleh mengajar dan memupuk semangat perpaduan dalam kalangan pelajar supaya menghormati antara satu sama lain.

“Ini juga dapat mengajar semangat kepelbagaian yang ada dalam rakyat Malaysia yang membawa maksud kemerdekaan itu juga kita berkongsi hasil kemerdekaan untuk kita sama-sama nikmati hasilnya,” katanya.

Tambahnya, keharmonian yang kita rasai sekarang seharusnya kita jaga dan jangan digugat sehingga perpaduan tersebut berpecah belah dan menimbulkan masalah pada kemudian hari.

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda