Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeSelangor

HKN Medan Pendedahan Produk dan Idea Baharu

By 6 Ogos 2017Tiada komen3 minit bacaan

 

Laporan dan Foto oleh: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 6 Ogos (Malaysiaaktif) – “Sambutan Hari Koperasi Negara (HKN) merupakan satu program yang baik kerana memberi pendedahan kepada koperasi serta memperkenalkan produk mereka dan secara tidak langsung memberi idea kepada koperasi menambahkan aktiviti atau produk baru.”

Demikian kata Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gombak Setia, Norlilah Ismail, mengenai Sambutan HKN peringkat Negeri Selangor yang diadakan di Puteri Central Park, Bandar Tasik Puteri, di sini, semalam.

Norlilah, merangkap Pengerusi Koperasi SMK Gombak Setia Berhad, amat berterima kasih kepada guru-guru dan para pelajar yang bekerja keras menjayakan koperasi tersebut sehingga dianugerahkan Koperasi Sekolah Terbaik Negeri Selangor sempena program tersebut.

Koperasi SMK Gombak Setia Berhad menang Anugerah Koperasi Sekolah Terbaik Negeri Selangor

Koperasi SMK Gombak Setia Berhad menang Anugerah Koperasi Sekolah Terbaik Negeri Selangor

“Koperasi ini perlu diberi sokongan kerana ia memberi ilmu keusahawanan dan pendedahan kepada pelajar untuk menempuh cabaran masa hadapan yang begitu hebat untuk ditempuhi. Sekiranya ilmu keusahawanan telah ada, pelajar boleh mengorak langkah sendiri selepas mereka menamatkan pengajian mereka,” ujarnya.

Menurut Norlilah lagi, koperasi yang ditubuhkan pada 1982 itu yang kini mempunyai 1,200 ahli, merancang menjual makanan sejuk beku bagi memudahkan para guru di samping mengadakan program-program berbentuk akademik untuk pelajar SMK Gombak Setia.

Mohd Alwi Daud (dua dari kanan) pemenang Anugerah Tokoh Koperasi Negeri Selangor.

Mohd Alwi Daud (dua dari kanan) pemenang Anugerah Tokoh Koperasi Negeri Selangor.

Manakala, bagi Penerima Anugerah Tokoh Koperasi Negeri Selangor, Mohd Alwi Daud, dia tidak sangka terpilih kerana selama 25 tahun berkecimpung dalam bidang koperasi, dia tidak mengharapkan sebarang imbuhan tetapi hanya ingin memberi khidmat terbaik kepada ahli koperasi dan masyarakat.

“Sentiasa konsisten, istiqamah dan berpegang pada janji untuk memberi khidmat kepada ahli koperasi merupakan ramuan kejayaan selama 25 tahun saya berkecimpung dalam bidang koperasi yang menyaksikan pengurusan koperasi tidak pernah bertukar melalui pemilihan tetapi berlaku sekiranya ada kematian,” ujar Mohd Alwi berkongsi rahsia kejayaannya.

Jelasnya, Koperasi Felda Bukit Cerakah Selangor Berhad yang ditubuhkan pada 1994 menjalankan aktiviti menghasilkan produk mee, kerepek, roti, kek dan perikanan serta bercadang untuk mengembangkan lagi sembilan buah koperasi dalam usaha mengkoperasikan masyarakat.

Sambutan Hari Koperasi Negara bertujuan mengiktiraf sektor koperasi dalam sektor ekonomi di samping meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap gerakan koperasi di negara ini - Datuk Seri Jamil Salleh.

Sambutan Hari Koperasi Negara bertujuan mengiktiraf sektor koperasi dalam sektor ekonomi di samping meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap gerakan koperasi di negara ini – Datuk Seri Jamil Salleh.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Jamil Salleh, berkata sambutan HKN peringkat Negeri Selangor bertujuan memberi pengiktirafan atas sumbangan sektor koperasi dalam ekonomi di samping meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap gerakan koperasi di negara ini.

Jamil turut memuji Suruhanjaya Koperasi Negeri Selangor yang mengetengahkan konsep penyampaian perkhidmatan komuniti sempena sambutan ini yang sejajar dengan hasrat Perdana Menteri yang mahu menjadikan tahun 2017 sebagai Tahun Penyampaian Perkhidmatan.

“Fokus Tahun Penyampaian Perkhidmatan adalah untuk menjaga kesejahteraan dan menjaga kebajikan rakyat apabila setiap perkhidmatan yang diberikan perlu mengikut jadual dan sekiranya terdapat kekangan atau masalah koordinasi ia perlu diselesaikan segera,” katanya ketika merasmikan sambutan tersebut.

Pada majlis yang sama, turut diadakan beberapa penyampaian anugerah lain seperti Tokoh Koperasi dan Anugerah Koperasi Terbaik, penyampaian bantuan pembangunan koperasi dan penyerahan memorandum persefahaman (MoU).
-DZ

Tinggalkan komen anda