Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

Jabatan Tanah Dan Survei Juara Perbarisan

By 1 September 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto : Mohd Baharruddin Mohamad (Sarawak)

BINTULU, 31 Ogos (Malaysiaaktif) – Perhimpunan dan perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri Sarawak 2017 disambut meriah di hadapan ribuan rakyat Sarawak di Padang Dewan Suarah, di sini, semalam.

Sebanyak 80 kontinjen dengan kekuatan anggota seramai lebih tiga ribu orang turut serta dalam pertandingan perbarisan yang melibatkan sektor awam, swasta, badan bukan kerajaan serta anggota pasukan keselamatan.

Jabatan Tanah dan Survei Sarawak menjuarai perbarisan kali ini.

Jabatan Tanah dan Survei Sarawak menjuarai perbarisan kali ini.

Jabatan Tanah dan Survei Sarawak, dengan kekuatan 44 orang peserta yang diketuai Mohamad Fauzi Mohamad menjadi juara keseluruhan, dan menerima wang tunai sebanyak RM5, 000.

Naib juara disandang oleh kontinjen Serakup Indu Dayak Sarawak Bintulu manakala tempat ketiga dimenangi oleh kontinjen dari Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA). Masing-masing menerima hadiah wang tunai berjumlah RM3, 000 dan RM2, 000.

Hadiah disampaikan oleh Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud.

Menurut Residen Bahagian Bintulu, Mohd Yakub Kari, penyertaan tahun ini sangat menggalakkan dengan 80 kontinjen terlibat.

“Semua kontinjen bertanding mengeluarkan modal sendiri untuk membeli kostum, penginapan peserta, tambang dan lain-lain dan ini membuktikan mereka benar-benar bersemangat dalam menyerlahkan semangat keharmonian rakyat Malaysia yang berbilang bangsa,” ujarnya.

Antara kontinjen lain yang bertanding.

Antara kontinjen lain yang bertanding.

Yakub turut berharap agar sambutan seperti ini dapat di teruskan lagi di masa akan datang dengan lebih meriah.

Azimi Suhaili dari kontinjen Jabatan Tanah dan Survei menjelaskan faktor utama kejayaan ini adalah semangat berpasukan yang kuat.

“Semangat berpasukan haruslah diutamakan. Pasukan kami terdiri daripada setiap bahagian di Sarawak dan latihan memang cukup mencabar kerana setiap ahli terdiri dari kawasan berlainan.

“Kami hanya berlatih selama satu bulan untuk menyesuaikan diri agar nampak serentak dan sehati dalam pasukan,” jelasnya lagi.

Pelajar Vivi Tasafiana,16, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Bintulu berasa cukup teruja dapat menyertai sambutan kali ini.

“Saya sangat seronok apabila terpilih menyertai persembahan tarian dan koir walaupun latihan diberi hanya seminggu, namun itu tidak menjadi halangan untuk menyambut hari kebangsaan,” jelasnya.

-SH

Tinggalkan komen anda