
Laporan dan foto : Mohd Baharruddin Mohamad / Roslee Hashim (Sarawak)
MUKAH, 28 Ogos (Malaysiaaktif) – Kegemilangan serta kemasyuran sebuah sekolah di sini iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Three Rivers, Mukah (TRS) dalam bidang akademik mahupun kokurikulum direalisasikan melalui sebuah buku yang diberi judul ‘Three Rivers Pioneering Years 1961-1971’ dan dilancarkan oleh Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud di Dewan Tom Bazeley, SMK Three Rivers, di sini, semalam.
Abdul Taib turut menyarankan supaya ‘pioneering spirit’ yang dimiliki generasi dahulu dicontohi generasi masa kini dalam menghadap pelbagai cabaran dewasa kini mahupun masa depan.

Penulis Hamli Biha, menyifatkan naskah ini sebagai legasi sekolah untuk diabadikan kepada golongan muda hari ini dan esok.
Menurutnya, pioneering spirit yang dimiliki generasi dahulu seperti komuniti Melanau di kawasan ini membantu mereka mencapai kejayaan meskipun mengalami kekurangan tertentu seperti kelayakan akademik yang rendah.
“Sebagai contoh, ramai orang Melanau yang berhijrah ke tempat lain terutama Miri untuk mencari pekerjaan pada masa lalu berjaya dalam bidang yang diceburi mereka termasuk dalam industri minyak dan gas.
“Begitu juga dengan semangat dan usaha golongan yang memulakan TRS dahulu. Jika semangat ini dicontohi dan diamalkan untuk pembangunan, tidak mustahil Sarawak akan muncul sebagai negeri termaju di Malaysia pada masa depan,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Abdul Taib juga memuji mereka yang menyahut cadangan yang dikemukakannya beberapa tahun dahulu terutama penulisnya, Dr. Hamli Biha sehingga berjaya menerbitkan buku tersebut.
Taib yang kagum dengan buku itu terutama tajuknya sekali lagi mencadangkan supaya buku baharu tentang pioneering spirit dihasilkan.
Untuk tujuan itu, beliau mengumumkan geran RM200,000 bagi membantu sesiapa yang berminat untuk menulis buku baharu itu.
‘Three Rivers Pioneering Years 1961-1971’ merupakan ilham Abdul Taib sendiri dan ditulis oleh Dr. Hamli Biha, bekas pelajar TRS menjadi detik bersejarah yang akan tersemat dalam ingatan seluruh warga TRS selamanya.
Menurut Hamli, buku ini menggambarkan kisah sebuah sekolah di luar bandar yang berjaya mencipta keunggulan dalam arena sukan dan akademik biarpun mempunyai kekangan tenaga pengajar mahupun fasiliti.
Beliau mula menulis buku ini sejak pertengahan tahun 2014 dan semua maklumat terkandung di dalam buku ini diperolehi daripada rakan-rakan sekolah dahulu.
Hamli Biha, 65, yang berasal dari Kampung Penakub Hilir, di sini menyifatkan naskah ini sebagai legasi sekolah untuk diabadikan kepada golongan muda hari ini dan esok.
“Saya menerima cabaran untuk merealisasikan impian menghasilkan buku ini demi untuk pengetahuan tentang sejarah TRS kepada generasi muda dan generasi sebaya dengan saya semasa sekolah dahulu,” ujar mantan Timbalan Pengurus Bintulu Development Authority (DBA) ini lagi.
TRS yang sinonim dengan moto “Mind, Body and Spirit” telah banyak melahirkan ramai ahli-ahli politik, ahli-ahli korporat, ketua-ketua jabatan mahupun pemimpin tempatan.
“Saya berharap buku ini dapat memberikan kesedaran, motivasi dan inspirasi kepada generasi sekarang untuk mencipta kecemerlangan seperti yang telah dilalui oleh generasi TRS yang terdahulu.
“Pada usia TRS yang kini mencecah 56 tahun, sekolah ini telah melahirkan para ilmuwan yang berjaya menempa nama dalam pelbagai bidang mahupun profesion, dengan menunjukkan semangat yang gigih sehingga menjadikan sekolah ini dikenali sebagai sekolah terbaik di Sarawak hari ini,” katanya lagi.