Skip to main content
Berita TempatanHomeNegeri Sembilan

JPJ Serah Lesen B2 Kepada 376 Warga Emas

By 30 September 2017Tiada komen2 minit bacaan

Laporan & Foto: Ramasamy Amas

JEMPOL, 30 Sep (Malaysiaaktif)– “Peluang ini susah dapat. Saya mula tahu apabila ditahan oleh Pegawai JPJ dalam satu sekatan jalan raya di Felda Palong 8 ketika memandu motosikal tanpa lesen.

“Pegawai JPJ itu yang menasihatkan saya mengambil lesen melalui Program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ). Mujurlah saya dapat lesen dan boleh menunggang motosikal tanpa perasaan takut lagi katanya”.

Demikian kata Acthan Nair Raman, yang merupakan salah seorang daripada 376 peserta yang berumur 45 tahun ke atas
yang menerima lesen memandu Kelas B2 Motosikal pada petang tadi.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk AB. Aziz Kaprawi berkata mereka ini terdiri daripada pelbagai kaum yang telah mengikuti kursus pemanduan, latihan menunggang motosikal dan menduduki ujian ini yang dikendalikan sendiri oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan berjaya lulus.

“Lesen yang akan diperoleh nanti akan memudahkan pergerakan dari satu tempat ke satu tempat bagi menjalankan aktiviti harian tanpa rasa gerun dan takut kepada anggota penguat kuasa JPJ dan polis.

Tambahnya, merujuk kepada statistik kemalangan jalan raya di negara ini kadar kemalangan dan kematian terus berlaku dengan lebih 6000 kematian direkodkan setiap tahun sejak 10 tahun lepas.

“60 peratus merupakan pengguna motosikal. Saya berharap semua pengguan jalan raya di daerah ini, sentiasa mengamalkan Budaya Memandu Berhemah,” ujarnya.

Menyentuh hal PUSPAKOM, Aziz berkata Kementerian Pengangkutan pada dasarnya telah meluluskan Pemeriksaan Kenderaan Awam PUSPAKOM dikendalikan secara usaha sama dengan pemilik bengkel motor di daerah-daerah yang tidak mempunyai perkhidmatan PUSPAKOM.

“Ini akan memudahkan mereka yang duduk di kawasan pedalaman dapat memperoleh perkhidmatan tersebut berdasarkan kepada syarat-syarat dan panduan yang ditetapkan oleh PUSPAKOM dan kerajaan apabila dilaksanakan kelak,” katanya.

Bagi seorang lagi penerima, Abdullah Ahmad, 71, dia tidak terfikir dapat lesen dalam usia ini.

“Terima kasih kepada JPJ kerana dapat mengadakan program seperti ini dan memberi peluang kepada warga emas seperti saya untuk memilik lesen memandu,” katanya.

Dalam pada itu, Ho Foong Ying, 57 dari Pekan Gedes yang berpendidikan sekolah rendah gembira kerana hajatnya untuk mengambil lesen kini menjadi realiti.

“Dari dulu saya nak ambil lesen motor tapi takut tak lulus. Namun melalui program ini selama enam hari saya ikut latihan dan ujian kini saya sudah lulus dan dapat lesen,” jelasnya.

SF

Tinggalkan komen anda