Skip to main content
Berita TempatanPutrajayaSabah

Jawatankuasa Ditubuh Kaji Hak Rakyat Sabah, Sarawak – Najib

By 17 September 2017Tiada komen2 minit bacaan

Laporan Asmidar Zainol / Foto: Unit Foto Japen (Sabah)

KOTA KINABALU, 17 Sep (Malaysiaaktif) – Jawatankuasa mengkaji hak rakyat Sabah dan Sarawak berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 ditubuhkan bagi memelihara hak rakyat di kedua-dua negeri.

Jaminan itu dibuat Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyatakan langkah itu lebih cepat untuk mengagihkan dan mempertahankan hak-hak rakyat di kedua-dua negeri.

Najib semasa menyampaikan ucapannya.

Najib semasa menyampaikan ucapannya.

“Saya dah minta jawatankuasa-jawatankuasa ditubuhkan untuk mengkaji hak orang sabah dan Sarawak berdasarkan pada perjanjian Malaysia 1963.

“Kita juga akan berunding secara adik beradik dalam keluarga, tak payahlah buat slogan Sabah for Sabah, Sarawak for Sarawak, kita hendak Sabah for Malaysia dan Malaysia for Sabah.

“Pada saya, Hari Malaysia ini sangat besar ertinya bukan sahaja kepada rakyat Sabah dan Sarawak tetapi kepada rakyat Malaysia seluruhnya,” ujarnya.

Najib turut melahirkan rasa bangga dengan keputusan rakyat Sabah yang bersetuju untuk meyertai dua wilayah lain yang akhirnya membentuk Malaysia dan berjanji akan mempertahankan hak-hak rakyat di negeri tersebut.

“Apabila Sabah merdeka dan bersetuju bergabung dengan dua wilayah lain, kita amat menghargai keputusan yang dibuat dan kita komited melindungi rakyat dan hak rakyat Sabah,” jelas beliau.

Tambah Najib, pengisytiharan Hari Malaysia sebagai cuti umum pada 2010 adalah untuk memberi peluang kepada rakyat di negara ini untuk menghayati erti sambutan tersebut.

“Bila kita sambut Hari Malaysia, kita boleh melihat bagaimana sebagai sebuah negara, 54 tahun dahulu, tiada siapa kenal Malaysia yang dahulunya negara pertanian dengan bilangan penduduknya yang tidak besar tetapi hari ini kita merupakan sebuah negara yang berjaya.

“Sambutan dan penghormatan yang diberikan kepada saya oleh pemimpin dunia termasuk Presiden AS sendiri, kerana mereka melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang berjaya.

“Hari ini, kita merupakan negara pengeksport kapital, bukan negara yang minta sedekah, bukan negara melutut tetapi negara yang benar-benar berdaulat, itulah Malaysia,” katanya semasa menyampaikan ucapan perasmian sambutan tersebut di Kompleks Sukan Kota Kinabalu.

Najib memendekkan lawatannya ke Amerika Syarikat (AS) untuk menghadiri ke sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2017 di sini, pada Sabtu.

SF

Tinggalkan komen anda