Skip to main content
Berita TempatanSabah

Anugerah “Wow Factor” Milik PMR KK

By 27 Oktober 2017Tiada komen3 minit bacaan

Laporan: Yahya Abdul Rajak / Foto: Abdullah Sani Ariff Lokhman & Vicky S.Matanjang (Sabah)
KOTA KINABALU, 27 Okt (Malaysiaaktif) – Gemar menularkan pelbagai maklumat tentang dasar kerajaan dan aktiviti masyarakat di laman sosial facebook membawa kejayaan kepada Pusat Maklumat Rakyat (PMR) Kota Kinabalu memenangi program Pusat Maklumat Rakyat Champion 2017.

Tidak menduga tindakan sering mengemas kini laman sosial Facebook, Instagram dan Twitter milik PMR Kota Kinabalu membawa kepada pencalonan dan menjuarai bagi kategori Wow Factor pada program berkenaan.

Kejayaan PMR KK ini turut menerima pengiktirafan pada penganugerahan majlis Apresiasi Negaraku yang diadakan di salah sebuah hotel di sini yang dirasmikan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor pada Rabu.

Noorayah (dua dari kiri) bersama Malina (dua dari kanan) dan rakan setugas merakamkan gambar kejayaan merangkul kejayaan berkenaan.

Noorayah (dua dari kiri) bersama Malina (dua dari kanan) dan rakan setugas.

Ketua Pusat Maklumat Rakyat (PMR) Kota Kinabalu, Noorayah Ganipin berkata dia tidak pernah terfikir tindakan menularkan pelbagai dasar kerajaan di laman sosial membawanya tersenarai dalam pertandingan Anugerah PMR Champion 2017.

“Saya sendiri terkejut apabila dihubungi oleh ibu pejabat Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) yang mencalonkan PMR di bawah jagaan saya ke pertandingan tersebut kerana dimaklumkan kandungan laman sosial berkenaan mengandungi banyak maklumat dan membantu masyarakat mengetahui perkembangan semasa yang berlaku terutama di Sabah.

Katanya, agak terkejut dan fikiran mula bercelaru kerana saya baru sahaja ditugaskan mengurus pusat tersebut tetapi telah dicalonkan ke pertandingan berkenaan dan tentunya banyak perkara yang perlu dilakukan.

“Saya mula mencari jalan dan orang pertama yang saya temui ialah pegawai saya iaitu Malina Jamarin untuk berbincang perkara yang perlu dilakukan seterusnya.

Jelasnya lagi, pencalonan tersebut memberi saya cabaran menguji keyakinan, kecekapan dan kemampuan membawa misi menjadikan pusat ini dikenali masyarakat setempat yang akhirnya memastikan kewujudan PMR ini benar-benar memberi kemudahan kepada rakyat.

“Kesan pencalonan ini, kami membentuk satu kumpulan tindakan serta menerima pelbagai pandangan, nasihat dan tunjuk ajar daripada pegawai-pegawai lain termasuk Pengarah Japen Sabah.

“Selama tempoh tersebut saya merasa tidur pun tidak lena, makan tidak kenyang kerana terpaksa memerah otak untuk cuba keluar daripada kotak pemikiran selesa, menyelami pemikiran rakyat agar PMR dapat membantu menyelesaikan permasalah rakyat,” ujar Noorayah lagi.

Pada pertandingan tersebut, PMR Kota Kinabalu merupakan salah satu daripada 15 penyertaan seluruh negara yang menyertai pertandingan Anugerah PMR Champion bagi tahun ini.

Tambahnya, ibarat ‘genggam bara api biar sampai jadi bara’ taktkala gelanggang sudah dibuka bermakna permainan sudah dimulakan.

“Saya perlu bekerja dan berkat kerjasama rakan setugas, kami lipat gandakan gerakan promosi sama ada secara bersemuka mahupun melalui media sosial dan sentiasa memikir pengisian baharu agar kewujudan PMR KK dirasai rakyat.

“Akhirnya berkat penat lelah semua pihak PMR KK diangkat memenangi anugerah PMR Champion bagi kategori Wow Factor kerana berjaya memberi kesedaran rakyat bahawa PMR merupakan medium kerajaan yang boleh membantu memudahkan urusan masyarakat seharian.

Harapan Noorayah, ketika ini PMR menyediakan perkhidmatan seperti edaran bahan bacaan, penerbitan buku, edaran poster serta kemudahan komputer dan Internet kepada pengunjung.

“Saya bercadang ingin menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak sebagai rakan kerjasama ‘Smart Partnership’ terhadap beberapa agensi bagi memastikan segala intensif kerajaan dapat diterima rakyat,” ujar Norayah semasa di temui selepas menerima anugerah berkenaan.

Terdahulu, Hajiji Noor semasa merasmikan program Apresiasi berkenaan berkata, organisasi cemerlang didokong oleh kakitangan yang cemerlang yang mempunyai tahap inovasi tinggi.

“Umumnya cetusan idea dan inovasi dalam aspek kerja mampu meningkatkan kecekapan dan keberkesanan sistem penyampaian kerajaan.

“Sehubungan itu, usaha JaPen mengiktiraf kakitangan yang menunjukkan tahap inovasi tinggi adalah tepat dan saya menyokong penuh usaha terbabit.

Tambahnya, semoga dengan pengiktirafan ini akan dapat memberi suntikan motivasi kepada kakitangan Japen agar bekerja dengan lebih cemerlang dan tidak kira kecil atau besar usaha, komitmen dan jasa anda pastinya sumbangan ini memberi impak kecemerlangan bukan sahaja kepada Sabah malah kepada negara.

-SF

Tinggalkan komen anda