Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

Hari Kurikulum SDH Erat Hubungan Guru, Pelajar, Ibu Bapa

By 27 Oktober 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto : Aishah Latip / Mahmud Sulaiman (Kuching)

KUCHING, 27 Okt (Malaysiaaktif) – Hari Kurikulum Sekolah Dalam Hospital (SDH), Hospital Umum Sarawak disambut meriah biarpun diadakan secara sederhana. Program yang diadakan ini bertujuan mengeratkan lagi hubungan para guru, pelajar serta ibu bapa di SDH ini.

Menurut penyelia SDH, Taha Bol, objektif pendidikan SDH adalah untuk memastikan pendidikan dapat diakses oleh semua kanak-kanak tanpa batasan dan keadaan. Malah, SDH turut menyediakan pendidikan berterusan secara formal dan berstruktur dalam persekitaran yang kondusif bagi murid yang sedang dirawat di hospital.

“Mungkin ada dalam kalangan pelajar yang tidak mampu turun ke bilik kelas, guru akan ke wad untuk mengajar sementara. Bagi mereka yang mampu turun, mereka akan berada dalam kelas,” jelas Taha.

Jumaani (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang pelajar SDH.

Jumaani (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang pelajar SDH.

Malah beliau turut menyeru agar badan-badan korporat dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) dapat menghulurkan sumbangan agar lebih ramai pihak dapat di bantu.

Sumanti, 40, ibu kepada seorang pesakit kanser darah menjelaskan beliau terpaksa melepaskan jawatannya sebagai seorang eksekutif semata-mata ingin memberi tumpuan kepada anak keduanya yang didiagnosis penyakit tersebut Ogos lalu.

“Dengan adanya SDH ini, pelajaran anak saya dapat diteruskan biarpun sudah  tiga bulan tidak ke sekolah, selain mengelakkannya menjadi bosan sepanjang berada di hospital ini,” ujar Sumanti lagi.

Semalam, isteri Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, Datin Amar Jumaani Tuanku Bujang mengadakan lawatan kerja ke SDH seterusnya menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah bagi acara sukaneka yang diadakan sempena Hari Kurikulum SDH.

Beliau yang merangkap Presiden Badan Amal Tenaga Isteri Menteri-menteri (SABATI) turut menyampaikan sumbangan kepada semua pelajar.

Dalam lawatan kerja tersebut, Jumaani bersama rombongan turut melawat Jabatan Kecemasan dan Trauma, dan taman permainan kanak-kanak yang telah disumbangkan oleh SABATI sejak tahun 2005.

SDH, Hospital Umum Sarawak ini merupakan SDH yang pertama ditubuhkan di Sarawak telah memberi manfaat kepada ramai pesakit kanak-kanak yang berumur 4 hingga 18 tahun untuk mengikuti sesi pembelajaran dan pendidikan yang berterusan.

– SH/AAS

Tinggalkan komen anda