Skip to main content
Berita TempatanSabah

Diskriminasi Jantina, Mistik Terapi Urutan

By 27 Oktober 2017Tiada komen4 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan: Fauzrina Bulka / Foto: Azman Jumat (Sabah)

KOTA KINABALU, 27 Okt (Malaysiaaktif) – Letih dan lenguh menghadapi bebanan kerja sepanjang minggu, pasti sesekali kita perlukan sedikit waktu untuk berehat dan menenangkan fikiran.

Berurut adalah antara alternatif menenangkan yang sentiasa menjadi pilihan individu sebagai jalan keluar melepaskan tekanan.

Pasaran ini pasti tidak akan pernah mati kerana permintaan yang sentiasa berterusan daripada pelanggan, namun masih memberi cabaran kepada ahli terapi terutamanya lelaki yang berdepan dengan isu diskriminasi.

Ahli terapi, Muhamad Hafiq Damit, 28 mengakui kekurangan ahli terapi lelaki dalam pasaran kerana kebolehan mereka tidak diyakini oleh pelanggan.

Hafiq kecewa dengan diskriminasi terhadap ahli terapi lelaki.

Hafiq kecewa dengan diskriminasi terhadap ahli terapi lelaki.

“Pelanggan yang datang ke spa kami akan memberi reaksi kurang yakin kalau dapat tahu ahli terapi lelaki yang akan melayan mereka.

“Jika yang menolak khidmat kami ialah pelanggan wanita itu adalah normal, tetapi pelanggan lelaki juga memberi respons yang sama.

“Mahu tidak mahu, kami akan penuhi sahaja permintaan mereka supaya pelanggan tidak lari ke spa lain,” katanya kecewa.

Menurut Hafiq, dia sememangnya meminati bidang ini dan pernah mengikuti beberapa kursus perubatan termasuklah mempelajari fisioterapi.

Tambahnya, bilangan ahli terapi lelaki memang sangat kurang dan senario ini dapat dilihat rata-rata dalam sesebuah spa biasanya hanya ada seorang ahli terapi lelaki sahaja.

Menurut Hafiq, sebaiknya setiap spa perlu ada terapi lelaki sekurang-kurangnya supaya pelanggan tahu kewujudan ahli terapi lelaki dan tahu mereka juga boleh memberikan perkhidmatan sebaik ahli terapi wanita.

“Di samping itu, dapat mengelakkan pemikiran negatif masyarakat yang mengatakan perkhidmatan urut menawarkan perkhidmatan ‘sampingan’ sehingga profesion kami dipandang rendah.

“Dengan adanya kami, mungkin dapat mengelakkan berlaku masalah sosial, sebab kami menawarkan perkhidmatan yang profesional untuk pelanggan kami,” ujar Hafiq yang ditemui selepas Program Jerayawara Urutan Malaysia pada Khamis.

Hafiq turut bersetuju Urutan Malaysia diperkenal supaya pelanggan dapat merasai pengalaman yang sama di seluruh negara.

Urutan Malaysia direka oleh para profesional dalam bidang ini daripada pelbagai latar belakang dengan menumpukan teknik pemulihan yang terbaik, ritual, muzik dan persekitaran.

Sementara itu, seorang tukang urut tradisional, Sokimping Matingah, 69, berkata dia menyokong minat anak-anak muda yang ingin menceburkan diri dalam bidang urutan ini.

“Kalau mereka minat, belajar ilmu ini dengan sabar. Jangan lakukannya jika belum cukup ilmu dan semata-mata kerana wang kerana urutan melibatkan bahagian dalaman seseorang.

“Dengan urutan ini kita akan dapat membantu ramai orang, saya sendiri membantu pasangan-pasangan yang sukar hamil walau telah berkahwin berbelas-belas tahun,” ujar Sokimping.

Fanela (kanan) berharap dapat mewarisi ilmu urutan daripada neneknya, Sokimping(kiri).

Fanela (kanan) berharap dapat mewarisi ilmu urutan daripada neneknya, Sokimping (kiri).

Sokimping yang berpengalaman hampir 30 tahun turut menunjukkan beberapa mesej yang diterimanya menerusi Whatsapp daripada bekas pelanggan yang memberikan testimoni berjaya hamil selepas mendapatkan perkhidmatannya.

“Walaupun saya tidak pandai membaca, tetapi saya suka melihat gambar yang diberi oleh mereka.Pekerja saya pula akan bantumembaca mesej mereka.

“Saya gembira jika ramai yang mahu belajar, dan cucu saya juga ada yang meminati bidang ini. Ramai juga pelajar yang lain mampu membuka spa mereka sendiri,” katanya gembira.

Sementara itu, cucunya Fanella Shirley Luvion, 24, sangat berharap agar dapat mewarisi semua ilmu urutan tradisional daripada Sokimping.

Sejak berusia 10 tahun, Fanela rajin mengikut neneknya berurut dan dia  meneruskan minatnya mendalami ilmu itu sejurus selepas menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Bidang ini sememangnya memerlukan pelapis muda, supaya tidak pupus pada masa akan dating Walaupun ini bukan kerjaya yang popular, tetapi jika anda berminat, teruskan sahaja,” katanya.

Fanela turut berkongsi pengalaman berhadapan dengan perkara mistik ketika mengurut seorang guru yang mengalami lenguh badan akibat gangguan makhluk halus.

“Semasa guru tersebut datang mendapatkan bantuan saya dan menceritakan masalahnya, saya dapat lihat wajahnya kelihatan sangat tua daripada umur sebenar.

“Sebagai tukang urut, saya mengamalkan petua menggosokkan tapak tangan dengan garam sebelum mengurut dan baca doa mengikut kepercayaan masing-masing untuk mengelakkan ‘tempias’.

“Selepas mengurut, saya juga akan meminta pengeras sebanyak 50 sen mengikut kepercayaan kaum saya bagi mengelakkan unsur negatif,” katanya.

Fanela juga menggalakkan agar masyarakat meluangkan masa untuk berurut di spa-spa yang berhampiran dengan tujuan untuk menenangkan fikiran  berdepan dengan pelbagai masalah di tempat kerja.

“Badan juga perlukan perhatian dan dimanjakan sekali sekala, kerana dengan  badan yang cergas kita mampu melakukan sebarang pekerjaan dengan lebih baik,” ujarnya.

-SF

Tinggalkan komen anda