
Laporan dan foto : Azmi Abd. Rahman (Machang)
MACHANG, 31 Okt (Malaysiaaktif) – Keluarga Haji Salleh Majid sememangnya terkenal sebagai pengusaha nurseri di Kampung Pangkal Changgong, di sini. Rata-rata penduduk di sekitar daerah Machang mengenali Haji Salleh sebagai satu-satunya pengusaha nurseri di daerah ini.
Di sebalik kejayaan ini, Haji Salleh banyak mendapat tunjuk ajar daripada agensi-agensi kerajaan dalam perniagaan nurserinya.
Menurut Ahmad Ezri Abdul Razak, 37, perusahaan turun temurun ini bermula sejak 17 tahun lalu setelah mendapat bimbingan daripada Jabatan Pertanian.
“Biarpun tidak memohon bantuan kewangan dari mana-mana pihak, namun begitu kami mendapatkan ilmu dalam bidang nurseri ini dengan mengikuti kursus atau seminar anjuran agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian, Pertubuhan Peladang dan sebagainya,” ujar Ezri yang juga merupakan menantu kepada Haji Salleh.
Hari ini, Hj. Salleh Nursery membekalkan berbagai peralatan nurseri termasuk pasu bunga, benih tanaman, baja, meja simen serta
aksesori dan servis landskap.
Kebanyakan barangan atau peralatan nurseri ditempah dari Perak, Pahang dan Selangor.
Zainuddin Mat Jusoh, 54, pelanggan tetap Hj. Salleh Nursery menyatakan beliau lebih suka mendapatkan baja tanaman di sini kerana baja yang dijual hanya baja organik yang mesra alam sekitar.
Nurseri ini mempunyai sembilan orang pekerja yang terdiri daripada anak menantu serta saudara terdekat sahaja.
“Kami berharap agar perusahaan nurseri yang diusahakan ini akan lebih dikomersialkan dan berjaya ke peringkat yang lebih tinggi pada masa hadapan,” jelasnya lagi.
-SH/AAS